DAUN menguning tanda bawang sedia dituai.
DAUN menguning tanda bawang sedia dituai.
Nurul Husna Mahmud


Malaysia mengimport bawang dari 29 negara termasuk lima negara pengeksport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (sembilan peratus) dan Thailand (tujuh peratus).

Pada 2022, jumlah import bawang mencecah 685.4 ribu tan metrik (mt) dengan nilai RM1.58 bilion.

Penggunaan perkapita (PCC) bawang bagi penduduk Malaysia adalah sekitar 20.9 kilogram setahun untuk seorang.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bawang antara produk pertanian penting dan permintaan terhadap hasil tanaman itu sangat tinggi.

Malaysia yang mempunyai daya tarikan gastronomi unik dengan bawang antara ramuan terpenting, menjadikan sayur daripada genus allium (merujuk kepada tanaman berubi) antara komoditi tanaman yang strategik untuk dibangunkan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Datuk Nor Sam Alwi, aktiviti memperkasakan industri penanaman bawang juga satu pendekatan penting seiring dengan inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterj

aminan Makanan (KPKM) yang menyasarkan 30 peratus Kadar Sara Diri (SSR) bersamaan 11,902.5mt pengeluaran bawang.

"Keperluan bawang bagi penduduk Malaysia adalah dianggarkan 39,675 tan metrik (mt) setahun dan semuanya diimport.

"Ini kerana sehingga kini, tiada penanaman bawang untuk pengeluaran segar kecuali penanaman bawang bagi pengeluaran daun bawang sahaja dilakukan petani tempatan.

NOR SAM (tengah) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup (kanan) yang membuat lawatan ke ladang bawang ketika menuai hasil pertama.
NOR SAM (tengah) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup (kanan) yang membuat lawatan ke ladang bawang ketika menuai hasil pertama.

"Bagi menjamin bekalan bawang di Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencadangkan penanaman bawang perlu dilaksanakan di negara ini membabitkan dua fasa iaitu fasa skala prakomersial dan fasa skala komersial," katanya.

Fasa skala prakomersial bertujuan melihat potensi penanaman bawang di Malaysia dengan pembangunan kawasan penanaman bawang seluas 100 hektar untuk tempoh dua tahun iaitu 2024 dan 2025. Berakhirnya fasa ini dijangka pengeluaran bawang di Malaysia adalah sebanyak 1,000 tan metrik.

Fasa Skala Komersial, penanaman bawang dalam skala lebih besar pula membabitkan kawasan penanaman seluas 1,347 untuk tempoh lima tahun (2026 hingga 2030) dengan anggaran pengeluaran bawang mencecah 14,470 tan metrik.

Kata Nor Sam, penanaman bawang pertama varieti tempatan ketika ini diusahakan petani tempatan membabitkan penanaman bawang secara konvensional di atas batas.

"Bagi penanaman bawang tempatan, benih bawang dihasilkan menerusi kajian adaptasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) membabitkan tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

"Kaedah tanaman ada dua cara iaitu bebawang dan biji benih. Bebawang ialah penanaman terus di ladang dengan tempoh matang 65 hingga 75 hari selepas tanam.

"Cara lain ialah menerusi biji benih. Proses penyemaian perlu dilakukan satu hingga dua bulan di nurseri dan kemudian dipindahkan ke ladang. Penuaian dilakukan apabila daun menguning dan rebah sekitar 70 hingga 80 peratus," katanya.

BAWANG ditanam menggunakan kaedah konvensional iaitu di atas batas.
BAWANG ditanam menggunakan kaedah konvensional iaitu di atas batas.

Selepas dituai, bawang dikeringkan terus di bawah cahaya matahari atau di rumah pengeringan pada suhu 30 sehingga 32 darjah Celsius dan kelembapan relatif antara 65 hingga 70 peratus selama tiga hingga tujuh hari.

Bawang merah boleh disimpan selama empat hingga enam bulan pada suhu bilik dengan pengudaraan yang baik.

Nor Sam turut memaklumkan pihaknya giat menyediakan insentif menerusi peruntukan pembangunan bagi penanaman bawang antaranya penyediaan kawasan, input pertanian termasuk bahan tanaman.

Pelaksanaan inisiatif ini akan memberi impak melalui jaminan bekalan bawang dalam negara sebanyak 30 peratus bawang kecil daripada keseluruhan keperluan bawang di Malaysia menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 6:13 AM