Adnan Ibrahim

DENDA bagi pasangan yang tidak mendaftar kelahiran dan surat beranak anak mereka dalam tempoh 60 hari bukan lagi RM50 tetapi dinaikkan kepada RM1,000, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata kadar denda lewat daftar itu dinaikkan selepas pindaan Akta 299 Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat yang diluluskan Dewan Rakyat tahun lalu.

Katanya, kerajaan mengambil keputusan semua kelahiran mesti didaftar dalam tempoh 60 hari, sama ada anak sah taraf atau luar nikah.

"Jika ibu bapa mendaftar lewat dari tempoh berkenaan, mereka akan didenda sehingga RM1,000 berkuat kuasa serta merta.

"Ogos lalu, kita hanya menguatkuasakan tempoh pendaftaran lewat kelahiran dilanjutkan dari 42 kepada 60 hari bagi memberi peluang ibu bapa atau ibu tunggal berpantang dan menguruskan bayi sebelum hadir di hadapan pendaftar kelahiran," katanya.

Nur Jazlan berkata demikian selepas merasmikan pejabat baharu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Simpang Renggam di Taman Indah, Kluang, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Abdul Taib Abu Bakar dan Pengarah JPN Johor, Rokiah Hanum Ibrahim.

Menurut Nur Jazlan, tindakan meningkatkan denda bukan bertujuan mengutip hasil tetapi lebih kepada menggalakkan ibu bapa mempercepat pendaftaran kelahiran anak yang baru dilahirkan.

"Pendaftaran kelahiran anak tidak boleh diambil mudah dan sambil lewa kerana akan menimbulkan pelbagai masalah ketika anak membesar terutama kesulitan mendaftar MyKid dan persekolahan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nur Jazlan berkata sejumlah 106,000 MyKad yang sudah siap tidak dituntut sejak tiga tahun lalu.

Katanya, tempoh 30 hari untuk menuntut kad pengenalan oleh pemiliknya terpaksa dikenakan kerana walaupun telah diberikan peringatan oleh JPN itu seperti diabaikan.

"Sekiranya tidak dituntut dalam tempoh berkenaan mulai hari ini , semua MyKad yang tidak dituntut itu terpaksa dilupuskan kerana merasakan pemiliknya tidak memerlukan dokumen itu dan tidak mempedulikannya.

“€œSebagai rakyat negara ini, adalah mustahil mereka tidak membuat urusan rasmi di pejabat kerajaan atau swasta seperti bank. Semua orang tahu setiap urusan memerlukan kad pengenalan.

“€œJika mereka tahu dokumen itu amat penting, segera menuntut MyKad masing-masing sebelum tamat tempoh dan dilupuskan atau berdepan kesukaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 8:12 PM