KWSP.
KWSP.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.

KWSP dalam kenyataan berkata, selaras dengan fenomena penuaan yang pesat dan landskap kerja yang semakin berkembang ke arah tidak formal di Malaysia, KWSP sentiasa mengkaji semula skim KWSP untuk memastikan ahli boleh memenuhi keperluan kitaran hidup tanpa menjejaskan simpanan mereka bagi tujuan persaraan kelak.

Oleh itu, bagi membantu ahli mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang, akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasakan lagi simpanan persaraan demi kesejahteraan hari tua termasuk memperkenalkan Akaun Fleksibel.

Dalam pada itu KWSP turut menyambut baik Belanjawan 2024 terutama dalam menangani beberapa perkara yang dibangkitkan oleh KWSP berkenaan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Belanjawan 2024 mencerminkan satu langkah penting ke hadapan dalam mengutamakan keselamatan kewangan dan kemakmuran penduduk yang semakin menua.

"Dengan usaha bersepadu dalam memperkukuhkan sumber dan peruntukan persaraan, belanjawan ini menyerlahkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan maruah dan keselesaan rakyat.

"Kesejahteraan hari tua rakyat kekal sebagai salah satu keutamaan kerajaan, berikutan tahap perlindungan yang rendah di bawah skim pencen dan persaraan yang formal dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Pada masa ini, hanya 60 peratus daripada tenaga buruh di Malaysia dilindungi di bawah skim persaraan formal, iaitu Skim KWSP untuk pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam untuk penjawat awam," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tahap simpanan yang rendah dalam kalangan ahli KWSP juga perlu ditangani bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bersara dengan selesa dan bermakna pada hari tua.

"Justeru penting supaya keadaan semasa dapat ditangani dengan merapatkan jurang simpanan dan liputan yang wujud dalam sistem pencen dan persaraan di Malaysia," katanya.

Selain penstrukturan semula Akaun KWSP, pihaknya juga mengalu-alukan inisiatif kerajaan meningkatkan had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan daripada RM300 kepada RM500 setahun dan inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 350,000 peserta sedia ada dan baru.

Program i-Saraan juga akan ditambah baik di mana rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal, termasuk golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, di bawah umur 60 tahun yang mencarum secara sukarela kepada i-Saraan akan berpeluang menerima insentif maksimum seumur hidup sebanyak RM5,000 setiap individu, tertakluk kepada had RM500 setahun.

Selain itu, bermula 2024, program i-Sayang akan diperluaskan untuk membolehkan isteri yang bekerja memindahkan 2.0 peratus daripada caruman KWSP bulanan mereka (syer pekerja) ke akaun KWSP suami mereka.

Seterusnya, untuk melanjutkan program i-Suri, kerajaan akan memberikan insentif caruman padanan bagi setiap ringgit yang dicarumkan ke dalam Skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 60 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih.

Peserta i-Suri juga berpeluang menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu, tertakluk kepada insentif padanan RM300 setahun.

Amir Hamzah berkata, KWSP yakin dan percaya bahawa inisiatif ini dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian dan kesejahteraan dalam keluarga.

"Sebagai dana persaraan, KWSP menyokong dan akan bekerjasama dengan kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani untuk memastikan kehidupan persaraan rakyat Malaysia terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 12:15 PM