Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Wartawan Harian Metro, Mohd Alhafiz Ithnin mengungguli Anugerah Media Pembinaan CIDB 2023 (AMP 2023) selepas memenangi dua kategori pada anugerah terbabit.

Mohd Alhafiz memenangi tempat pertama bagi kategori Media Cetak dan Portal Berita menerusi laporan bertajuk 'Mengurus Sisa Binaan, Denda RM10,000 Menanti, Terus Promosi Pembangunan Mampan Dalam Sektor Pembinaan.

Selain itu, Mohd Alhafiz bersama Pereka Grafik, Mohd Fahmy Mohd Hashim turut memenangi tempat pertama bagi kategori infografik bertajuk 'Pemuliharaan Stadium Merdeka' sekaligus melayakkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 serta sijil bagi setiap kategori dimenangi.

Selain itu, Harian Metro turut memenangi tempat kedua Kategori Infografik menerusi wartawan Nor 'asyikin Mat Hayin dan Pereka Grafik, Nor Salim Mohamed Dawam dengan infografik bertajuk 'Pintasan Saloma Bukan Pintasan Biasa' dan membawa pulang RM3,000 serta sijil.

Selain dua kategori yang dimenangi Harian Metro, turut merangkul kemenangan pada AMP 2023 adalah jurufoto NSTP, Mohd Fadli Hamzah yang merangkul tempat kedua bagi kategori Fotografi sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta sijil.

Wartawan New Straits Times, Tharanya Arumugam dan Pereka Grafik Ahmad Yusri memperoleh saguhati dalam Anugerah Infografik yang membawa pulang RM1,000 serta sijil.

PEMENANG bersama trofi dan hadiah masing-masing pada Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya dan Majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (WTCKL).  FOTO Asyraf Hamzah
PEMENANG bersama trofi dan hadiah masing-masing pada Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya dan Majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO Asyraf Hamzah

Bagi kategori Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian (Berita dan Dokumentari), ia dimenangi TV3 menerusi wartawannya, Irin Putri Azmi menerusi laporan bertajuk Majalah 3 - Misi Kembalikan Kuasa Kenyir.

TV3 juga meraih tempat ketiga bagi kategori sama menerusi wartawan, Safwan Sawi dan Fairuz Yazzer, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Penyampaian anugerah disampaikan sendiri Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.

AMP 2023 adalah kali ke enam dianjurkan oleh CIDB Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memberi penghargaan kepada media yang sudah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam industri pembinaan.

Buat pertama kalinya juga Anugerah Infografik diperkenalkan dalam AMP kali ini.

Sebanyak 176 penyertaan diterima CIDB sejak penyertaannya dibuka Ogos lalu.

Sementara, Nanta dalam ucapannya turut memberi komitmen untuk meneruskan penganjuran AMP pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 10:08 PM