Baru menyampaikan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 (Media Cetak) tempat ketiga kepada Mohd Amirul. FOTO Nadim Bokhari
Baru menyampaikan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 (Media Cetak) tempat ketiga kepada Mohd Amirul. FOTO Nadim Bokhari
Goh Pei Pei


THE New Straits Times Press (NSTP) menerusi akhbar BH merangkul dua Anugerah Media Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Wilayah Sarawak sempena Malam Media Kementerian Kerja Raya hari ini.

Wartawan sambilan NSTP, Mohd Latif Ahmad memenangi tempat kedua kategori Anugerah Media Cetak Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018.

Dengan kemenangan artikel bertajuk ‘Sekolah Tidak Siap: SPRM buka kertas siasatan’ yang disiarkan BH, Mohd Latif membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bersama trofi serta sijil.

Artikel berkenaan membongkar ketirisan yang berlaku dalam projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku di Sri Aman hingga menyebabkan kelewatannya disiapkan.

NSTP melalui BH terus mengungguli Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 apabila wartawannya, Muhd Amirul Faiz Ahmad dipilih sebagai pemenang ketiga Anugerah Media Cetak.

Artikel bertajuk ‘Sarawak teraju utama penjanaan kuasa’ karyanya memaparkan kesan berganda kepada ekonomi Sarawak selepas kerajaan negeri mengambil alih Empangan Hidro Elektrik Bakun, sekali gus menjadikan negeri ini pemain utama sektor penjanaan kuasa berpengaruh di rantau ini.

Muhd Amirul membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 bersama trofi dan sijil.

Sementara itu, wartawan TV3, Kadir Edison dan jurukamera, Farizan Jalal memenangi tempat kedua kategori Anugerah Media Elektronik & Penyiaran melalui laporan khas mereka berjudul berjudul ‘Jalan Pesisir - Nadi Baharu Pengangkutan Darat Sarawak’.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bersama trofi dan sijil.

Kadir turut memenangi tempat ketiga kategori sama bersama jurukamera, Abu Zaidi Abu Bakar melalui laporan khas bertajuk ‘Ulu Pelagus - Petronas MNLG - Beri Nafas Baharu Sekolah Pedalaman’.

Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 bersama trofi dan sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Kerja Raya, Baru Bian pada Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya 2018 di Hotel Pullman, Kuching.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Terdahulu, Baru berkata sumbangan media terhadap sektor pembinaan di negara cukup dihargai terutama dalam menyalurkan maklumat tepat agar rakyat merasai usaha memajukan negara ini sentiasa menjadi perhatian kerajaan.

” Kita mengharapkan kerjasama antara pihak kementerian dengan agensi media sentiasa dipertingkat terutama untuk menjadi wadah penyampaian berita bermaklumat terutama kepada golongan belia sama ada di media cetak mahupun elektronik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 12:10 AM