RUMAH pusaka berusia 80 tahun yang rosak selepas dihempap pokok kekabu di Kampung Renak, Jelebu.
RUMAH pusaka berusia 80 tahun yang rosak selepas dihempap pokok kekabu di Kampung Renak, Jelebu.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: “Mujur ketika kejadian tiada sesiapa di rumah, jika tidak, mungkin ada yang tidak bernasib baik,” kata Suhaimi Othman, 32, yang terselamat selepas rumahnya di Kampung Renak di sini, dihempap pokok kekabu, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, rumah pusaka keluarganya yang berusia 80 tahun rosak 60 peratus.

Menurutnya, sejam sebelum kejadian, dia yang bekerja kampung sempat merakam gambar pokok kekabu berusia 40 tahun yang reput dimakan anai-anai itu.

“Tujuan saya merakam gambar pokok itu untuk meminta bantuan pihak berkaitan supaya menebang pokok berkenaan dan sepatutnya ia ditebang pada petang ini.

“Saya ke rumah mentua di Titi kerana isteri dan anak berada di sana, tetapi lima minit kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang saudara memaklumkan rumah dihempap pokok.

“Saya bergegas pulang dan mendapati sebahagian ruang tamu dan bilik tidur musnah dihempap pokok kekabu yang tumbang itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, pokok setinggi 30 meter itu terletak 10 meter dari rumahnya.

“Syukur walaupun rumah rosak, kejadian ini tidak menyebabkan kecederaan keluarga ataupun jiran berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 11:08 AM