CHONG (kiri) menunjukkan wajah anak mangsa yang melarikan diri selepas berhutang dengan along.
CHONG (kiri) menunjukkan wajah anak mangsa yang melarikan diri selepas berhutang dengan along.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang lelaki tidak serik walaupun sudah empat kali meminjam dengan ceti haram atau along berjumlah lebih RM400,000.

Namun, lebih memeranjatkan apabila hutangnya itu dibayar bapanya.

Selepas hutang berjumlah RM400,000 itu dibayar, dia sekali lagi meminjam RM20,000 sebelum menghilangkan diri.

Tindakannya itu mendatangkan masalah kepada keluarganya sendiri apabila bapanya kerap diganggu along akibat hutang berkenaan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Foong berkata, konco along kerap meninggalkan nota di hadapan rumah bersama nama anaknya, selain mengugutnya membayar hutang itu.

Katanya, ceti haram turut menghubungi telefon rumahnya hampir setiap hari mendesak dia menyelesaikan hutang berkenaan.

“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Saya berharap anak saya pulang ke rumah membantu menyelesaikan hutangnya.

“Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam. Saya merayu along terbabit jangan ganggu atau menghubungi kami,” katanya.

Menurutnya, tindakan anaknya meminjam wang dengan along menyusahkan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong meminta kumpulan along terbabit supaya tidak mengganggu ahli keluarga peminjam kerana mereka tidak bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 9:04 AM