GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) memberi bayangan akan meletakkan calon Melayu mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kemungkinan itu berdasarkan demografi pengundi Melayu merangkumi 46.4 peratus.

Katanya, semua parti dalam gabungan PN sudah menghantar senarai calon untuk bertanding pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

"Majlis pimpinan tertinggi PN sudah mengadakan mesyuarat dan akan mengumumkan calon esok.

"Calon yang akan diketengahkan sudah melalui beberapa proses dan bukannya dipilih secara tangkap muat," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan negeri (DUN), di sini, hari ini.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, menjadi Adun Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan pada 11 Mei ini manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini.

Pada pertandingan empat penjuru Pilihan Raya negeri (PRN) Ogos lalu, Kee Hiong memenangi kerusi dengan majoriti sebanyak 4,119 undi selepas memperolehi undi sebanyak 10,743.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, calon yang dipilih adalah berprinsip dan beristiqamah dalam perjuangan.

Ketika mengulas cabaran akan dihadapi, Razali berkata, kekalutan dan pelbagai masalah yang berlaku antara parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) terutama MCA dan MIC memberi kelebihan kepada PN untuk memenangi kerusi.

"Semua jentera pilihan raya PN sudah dikerah berkerja kuat untuk memastikan kemenangan calon pada PRK yang akan diadakan pada 11 Mei depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 2:02 PM