PENASIHAT Mahar, Nurul Izzah Anwar. FOTO ihsan Mahar
PENASIHAT Mahar, Nurul Izzah Anwar. FOTO ihsan Mahar
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) mengutuk tindakan rejim Israel mempercepatkan dan memperluas penempatan haram di Baitulmaqdis Timur dengan 20 projek baharu dilancarkan sejak negara itu melancarkan perangnya ke atas Gaza enam bulan lalu.

Penasihat Mahar, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai mengambil kesempatan di tengah pembantaian dan pembunuhan genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Nurul Izzah berkata, ia adalah sebahagian daripada rancangan untuk membanjiri Baitulmaqdis dengan penempatan dan penerokaan haram Israel, sekali gus memisahkannya daripada persekitaran Palestin.

"Terkini, pendatang haram dengan bantuan tentera Israel memusnahkan jalan raya, kedai dan bangunan.

"Kejadian di kem pelarian Nur Shams dalam bandar Tulkarem, Tebing Barat menyebabkan 14 orang dibunuh dan puluhan cedera.

"Ini adalah tindakan keterlaluan oleh rejim Israel. Penempatan Israel di wilayah yang diduduki adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa namun tidak pernah diendahkan regim Zionis itu kerana tidak pernah dikenakan sebarang tindakan atau hukuman daripada agensi antarabangsa.

Sehingga kini 468 orang syahid di Tebing Barat dengan 120 daripadanya adalah kanak-kanak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengambil kira perkembangan terbaru Iran-Israel, Mahar menyeru masyarakat sivil tempatan dan antarabangsa untuk terus memberi keutamaan kepada usaha menyelamatkan nyawa di tengah genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis.

Nurul Izzah berkata, Mahar juga menyeru untuk semua berterusan menekan untuk gencatan senjata dan tentera Zionis meninggalkan Gaza.

"Tindakan Israel dalam menyerang Iran serta negara jirannya dilihat sebagai satu helah mengalih perhatian daripada perbuatan terkutuk mereka terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

"Perkara yang lebih merisaukan adalah rancangan Israel untuk menyerang Rafah di mana lebih 1.3 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal sedang berlindung di kem pelarian.

"Sasaran terbaru Israel di Gaza adalah pengamal media, pekerja kemanusiaan dan bantuan kemanusiaan yang bertujuan menambah kesengsaraan kepada penduduk pada masa yang sama mengehadkan laporan dan perkembangan di sana," katanya.

Menurutnya, pembunuhan lebih 34,000 nyawa dalam tempoh lebih 190 hari di Gaza termasuk tujuh sukarelawan kemanusiaan Ops Ihsan yang terkorban akibat serangan semasa pengagihan bantuan di Kem Al-Nuseirat menggariskan keperluan mendesak untuk penamatan segera pembunuhan beramai-ramai ini.

Katanya, walaupun banyak negara menyuarakan resolusi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Israel tetap meneruskan serangan sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin, dicontohi oleh serangan udara yang menyasarkan kem pelarian Shati di utara Gaza pada 12 April lalu ketika sambutan Aidilfitri dan usaha amal World Central Kitchen (WCK) pada 4 April.

"Usaha bantuan kemanusiaan Ops Ihsan yang dikelolakan oleh Mahar juga nyaris diancam bahaya dalam serangan terbaru.

"Dalam usaha memberi bantuan kepada masyarakat Gaza secara berterusan, Mahar bersama-sama rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain melancarkan Dapur Ihsan yang akan menyediakan makanan bermasak kepada keluarga pelarian di sekitar Deir al Balah, Gaza.

"Dapur itu berkemampuan menyediakan 49,000 hidangan sehari dengan kelolaan 14 tukang masak dan 25 sukarelawan. Pada bulan Ramadan ini saja, melalui kutipan dari orang ramai jumlah pengeluaran makanan untuk berbuka puasa mencecah lebih satu juta hidangan yang memberi manfaat kepada mereka yang berada di Deir al Balah, Nusairat, Al Maghazi dan sehingga ke utara di Sheikh Radwan.

"Kawasan itu menempatkan lebih 150,000 pelarian yang kehilangan segalanya dari tindakan kejam rejim Zionis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 3:37 PM