Sebahagian daripada umat Islam yang hadir sebagai tanda sokongan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di perkarangan Masjid Negara, 13 Oktober lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sebahagian daripada umat Islam yang hadir sebagai tanda sokongan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di perkarangan Masjid Negara, 13 Oktober lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Rakyat negara ini diseru terus memberi sokongan untuk rakyat Palestin dengan kandungan video dan menyebarkan kesedaran mengenai kekejaman yang berlaku.

Ia diharapkan akan dapat memberi impak yang ketara dan membawa perubahan serta menghentikan kekejaman yang berlaku.

Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) Jismi Johari berkata apa yang berlaku adalah keterlaluan dan sekali lagi ia menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa orang awam oleh rejim Zionis.

Katanya, pemimpin dunia termasuk Malaysia perlu mengutuk sekeras kerasnya dan mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel itu sebagai jenayah perang yang paling kejam.

"Ia adalah insiden yang merekodkan kematian tertinggi di Gaza sejak Israel melancarkan serangan udara ke atas wilayah Palestin selepas serangan Hamas ke atas rejim Zionis.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memaklumkan kepada dunia tentang pencerobohan dan kekejaman kejam Israel di Semenanjung Gaza", katanya.

Menurutnya, tindakan memusnahkan bangunan termasuk hospital di Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan solidariti ini tidak boleh terhenti begitu saja.

Ismi berkata, tindakan Zionis itu adalah pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, jenayah perang dan hukuman kolektif.

"Kita perlu gesa dan desak Mesir dan komuniti antarabangsa keseluruhannya untuk terus membuka lintasan Rafah, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza.

"Manakala negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu bertindak dan failkan penjenayah Israel dalam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menjalani proses undang-undang antarabangsa sewajarnya dan perlu didakwa atas jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 4:41 PM