SEORANG budak lelaki diselamatkan dari runtuhan di kem Jabalia.  Sekurang-kurangnya 18 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa rumah di kem Jabalia di bahagian utara Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
SEORANG budak lelaki diselamatkan dari runtuhan di kem Jabalia. Sekurang-kurangnya 18 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa rumah di kem Jabalia di bahagian utara Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Sekurang-kurangnya 18 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa rumah di kem Jabalia di bahagian utara Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Dalam Negeri di Gaza pada petang Khamis, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian itu berkata, sebilangan besar mangsa turut cedera dalam serangan udara yang menyasarkan beberapa rumah di Dataran Masjid Anwar Aziz di kem pelarian itu.

Kementerian itu berkongsi imej di akaun Facebook rasminya yang menunjukkan pasukan pertahanan awam dan perubatan di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, menangani kes kematian dan yang cedera.

Saksi memberitahu wartawan Agensi Anadolu: "Berpuluh-puluh orang yang cedera terperangkap di bawah runtuhan rumah yang musnah di tengah-tengah kemusnahan yang meluas."

Konflik di Gaza, susulan pengeboman dan sekatan Israel sejak 7 Oktober, bermula apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang yang termasuk pelancaran hujan roket dan penyusupan pejuang Hamas Palestin ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas dilaporkan berkata, tindakan agresif itu sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka haram Israel.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk, tanpa bekalan elektrik, manakala bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan kehabisan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa gencatan senjata segera untuk kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan mangsa.

Sekurang-kurangnya 3,808 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, manakala angka kematian di pihak rejim Zionis Israel berjumlah lebih 1,400 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 10:44 AM