ABDUL Fattah (kiri) berucap merasmikan Mesyuarat Agung ANGKASA Kedah di Alor Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ABDUL Fattah (kiri) berucap merasmikan Mesyuarat Agung ANGKASA Kedah di Alor Setar. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menawarkan diri untuk menjadi pengimport beras bagi menampung keperluan bekalan beras negara.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, terdapat rangkaian antarabangsa termasuk dari Gerakan Koperasi Thailand bersedia untuk membantu Angkasa.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak bercadang menganggu konsesi lain, sebaliknya hanya ingin mengambil segmen untuk ahli koperasi seramai 7.3 juta sahaja.

"Perkara ini bukan senang kerana kita sudah ada konsesi (beras) yang diberikan kerajaan kepada kumpulan tertentu.

"Jadi, kita harap akan berunding dengan kerajaan (dan) ambil segmen untuk ahli koperasi sahaja, dan ini memerlukan perbincangan (dengan pihak berkaitan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Angkasa Kedah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut,Abdul Fattah berkata, tawaran itu juga dilihat sebagai alternatif penyelesaian kepada kerajaan dalam pelbagai perkara termasuk isu keterjaminan makanan.

Katanya, dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, Angkasa melakukan pelbagai inisiatif untuk kelangsungan sumber makanan negara.

"Kita ada projek rintis ternakan ayam dengan kerjasama koperasi di Pahang dengan kapasiti sebanyak 32,000 ekor.

"Projek Lembu Tenusu Haifers Park masih berjalan dengan kapasiti sebanyak 54 ekor lembu buat masa ini. Sejak bermulanya inisiatif ini, sebanyak 126,271.63 liter susu berjaya dihasilkan," katanya.

Katanya, Angkasa juga sedang membangunkan projek ternakan lembu pedaging di Kedah dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 5:01 PM