AB RAUF bersalaman dengan masyarakat Jawa sempena majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Kampung Tengah Paya Dalam. FOTO Amir Mamat
AB RAUF bersalaman dengan masyarakat Jawa sempena majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Kampung Tengah Paya Dalam. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Melaka: Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan Perkampungan Pelancongan Jawa di Kampung Paya Dalam, di sini, sekali gus yang pertama di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi mesyuarat Exco negeri baru-baru ini, kerajaan negeri meluluskan cadangan mewujudkan perkampungan berkenaan sebagai satu daripada produk baharu pelancongan berasaskan komuniti Jawa di negeri terbabit.

"Di kawasan ini terdapat kira-kira 10,000 masyarakat Jawa dan sebahagian besarnya masih mengamalkan adat dan budaya etnik berkenaan sehingga kini, termasuk percakapan dan amalan seharian.

"Selepas memikirkan supaya adat dan budaya Jawa tidak akan hilang ditelan zaman, kerajaan negeri bersetuju memperkasa serta mempertahankannya dengan membangunkan satu perkampungan budaya di sini untuk tarikan pelancong.

"Insya-Allah kita jangka menjelang akhir tahun ini cadangan itu akan direalisasikan," katanya selepas menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (Perwaja) di Kampung Tengah Paya Dalam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Dalam, Umros Mariman.

Untuk rekod, Melaka mempunyai lebih 30,000 masyarakat berketurunan Jawa yang tinggal di beberapa kawasan termasuk di sekitar Paya Dalam dan Ayer Molek, Kampung Paya Tanjung di Serkam serta beberapa lokaliti di Sungai Rambai.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, dengan kewujudan Perkampungan Pelancongan Jawa di Paya Dalam itu kelak, ia akan memperkenalkan seni, budaya, makanan dan gaya hidup masyarakat etnik berkenaan.

Bagi tujuan terbabit, beliau berkata, satu kawasan di kampung terbabit seluas kira-kira 1.6 hektar sudah dikenal pasti untuk dibangunkan sebuah kompleks dinamakan Kompleks Warisan Jawa Negeri Melaka.

"Apabila direalisasikan kelak, tarikan pelancongan baharu ini akan membawa limpahan ekonomi lebih besar kepada penduduk kampung dan sekitarnya, bersedialah untuk memperkenalkan seni, budaya, kehidupan, makanan dan kraftangan kepada pelancong yang akan tiba tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 4:33 PM