AB Rauf ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam Melaka lewat petang tadi. FOTO AMIR MAMAT
AB Rauf ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam Melaka lewat petang tadi. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Melaka akan menjadi perintis kepada pelaksanaan Perkampungan Digital yang menjadi inisiatif baharu dalam usaha transformasikan semua kawasan kampung di negeri itu

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia meliputi penambahbaikan kepada sistem penyampaian serta penghantaran dengan mewujudkan sistem nombor bagi setiap rumah di kawasan kampung.

Katanya, ketika ini setiap rumah di kawasan kampung tidak mempunyai nombor menyebabkan kesukaran kepada sistem penghantaran atau berkaitan dengan perangkaan.

"Justeru, saya mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mewujudkan inisiatif baharu iaitu 'Perkampungan Digital' yang akan memastikan setiap rumah di kawasan perkampungan mempunyai alamat yang lengkap supaya lebih sistematik serta memudahkan Jabatan Perangkaan menyusun semula maklumat berkaitan rakyat khususnya.

"Usaha ini akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari melalui Pejabat

Daerah di seluruh negeri," katanya ketika menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2023 yang bertemakan 'Bijak Laksana Hang Tuah, Berani Laksana Hang Jebat' di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, semua Pejabat Daerah diarah supaya mengambil tindakan serta merta bagi memastikan kewujudan Perkampungan Digital ini direalisasikan segera.

Katanya, ini kerana projek berkenaan menjadi perintis sebelum dilaksanakan di seluruh negara kelak.

"Pagi tadi saya sudah menyatakan hasrat itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kedua-duanya bersetuju supaya menjadikan Melaka sebagai negeri pertama Perkampungan Digital sebelum diperluaskan di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 11:19 PM