Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan peribadi akan diwajibkan menjalani latihan khas, bermula tahun depan.

Polis kemudianya akan memberikan tauliah kepada mereka. Ini bagi meningkatkan lagi kualiti dan kawal selia kumpulan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata latihan itu juga akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen membawa dan menggunakan senjata api pada setiap tahun.

"Ini juga bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak mudah menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal keselamatan.

"Pada masa sama latihan ini akan menjadikan mereka lebih terlatih serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan sebagai pengawal keselamatan peribadi," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Latihan Certified Security Guards (CSG) Siri 38/2016 di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Tahun ini, 332 operasi penguatkuasaan bersepadu dilakukan KDN, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ini termasuk mengadakan pemeriksaan di 195 sekolah dan 21 hospital bagi memastikan syarikat dan pengawal keselamatan mematuhi segala peraturan, pekeliling dan Akta Agensi Persendirian 1971.

Daripada jumlah itu, KDN membatalkan lesen 10 syarikat kawalan keselamatan manakala 10 lagi syarikat diberi amaran akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 10:53 AM