HAFIZUL ketika dibawa polis selepas memperoleh perintah tahanan reman Selasa lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim.
HAFIZUL ketika dibawa polis selepas memperoleh perintah tahanan reman Selasa lalu. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Kelantan kerana ingin bekerja di Arab Saudi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, siasatan mendapati suspek sudah membuat pemeriksaan di hospital terbabit seminggu sebelum kejadian tembakan itu.

"Kita akan menyambung reman suspek tujuh hari lagi selepas tempoh remannya tamat pada Isnin ini.

"Sehingga hari ini, seramai 27 orang sudah dirakam percakapan termasuk isteri suspek bagi membantu siasatan," katanya kepada media ketika ditemui di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan, yang dijangka tidak lama lagi.

"Motif utama masih sama iaitu disebabkan hal peribadi," katanya.

Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Haniff Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 2.15 pagi tadi.

Hafizul Harawi, 38, sebelum ini ditahan di depan sebuah hospital swasta di Kelantan, Isnin lalu berhubung kes melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, yang menyebabkan seorang pengawal peribadi cedera.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, sebelum kejadian, suspek yang dari Arab Saudi sempat ke Bangkok, Thailand sebelum pulang menerusi sempadan di Kelantan.

Siasatan polis turut mendapati pistol Glock 19 Austria yang digunakan suspek dalam cubaan membunuh isterinya itu dipercayai dibeli daripada lelaki Thailand pada harga RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 1:02 PM