TANGKAP layar video tular Pokdi, yang termenung jauh kerana tertinggal kunci rumahnya di Kuala Terengganu selepas memandu selama 18 jam. VIDEO Ihsan Pokdi
TANGKAP layar video tular Pokdi, yang termenung jauh kerana tertinggal kunci rumahnya di Kuala Terengganu selepas memandu selama 18 jam. VIDEO Ihsan Pokdi
Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Termenung jauh di kedai sambil menghirup air minuman kerana tertinggal kunci rumah selepas terpaksa meredah kesesakan jalan raya selama 18 jam dari Kuala Terengganu.

"Jasad baru sampai di KL, kunci rumah di Terengganu," kata lelaki itu di TikToknya.

Menerusi video tular yang dikongsi menunjukkan dirinya yang pasrah selepas penat memandu pulang daripada menyambut perayaan Aidilfitri di kampung.

Pengguna TikTok @ceokuterer atau mesra disapa sebagai Pokdi, 48, berkata setelah sampai di Kuala Lumpur, baru teringat kunci rumahnya berada di dalam poket seluar yang ditinggalkan di sana.

"Punya lah sibuk beli barang di kampung dan selesaikan apa yang patut, jadi saya pun mandi dan tukar pakaian dulu sebelum pulang.

"Rupanya kunci rumah ada di dalam poket seluar yang satu lagi itu.

"Dah sampai tu berangan nak rehat dan mandi sebab penat pandu kereta terlalu lama, apakan daya sebab kecuaian boleh jadi begini," katanya.

Pokdi berkata, perasaannya pada waktu itu bercampur-baur termasuk rasa marah, geram, dan juga terhibur dengan gelagatnya itu.

Tambahnya lagi, dia juga terpaksa mendengar bebelan isteri dan anak perempuannya yang tinggal di Kuala Terengganu.

"Bini saya memang marah dan bebel teruk dekat saya, nak taknak terpaksa pasang telinga mendengar.

"Suka sangat kan dah jadi duka," kata isteri kepadanya yang berumur 47 tahun itu sewaktu mereka berhubung di dalam panggilan telefon.

Dalam pada itu, Pokdi berasa lega kerana kawannya di Kuala Terengganu pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya.

"Nasib baik sangat, kawan saya pun tolong ambilkan kunci dan berikan kepada saya pada keesokan harinya," katanya.

Video tular itu kini berjaya meraih 1,500,000 juta tontonan, 121,100 tanda suka dan 7,416 perkongsian di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:43 PM