KEADAAN warga emas ketika ditemui pekerja tapak binaan. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN warga emas ketika ditemui pekerja tapak binaan. FOTO Ihsan Pembaca.
Adnan Ibrahim


WANITA warga emas yang dilaporkan hilang 30 Ogos lalu, ketika mencari barang lusuh ditemui dalam keadaan lemah dan terbaring di dalam lumpur di tapak binaan di Kluang, semalam.

Wanita berkenaan Low Chon Tai, 87, ditemui pekerja tapak binaan berkenaan pada 11.30 pagi.

Warga emas itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Kluang Barat, Kluang pada 4 petang, 30 Ogos lalu untuk mencari bekas minuman serta kotak terpakai.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, laporan kehilangan warga emas itu dibuat anaknya, Chen Tiang Fock, 66, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, selepas wanita itu tidak pulang sehingga 8 malam.

"Mereka mula mencari warga emas berkenaan di sekitar taman perumahan, namun gagal menemuinya, sebelum membuat laporan polis pada 10 malam.

"Usaha pencarian dilancarkan yang turut disertai penduduk taman serta anggota polis keesokan harinya di sekitar rumah mangsa serta taman perumahan berdekatan namun tidak membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Abduh berkata, semalam dua anggota dari Balai Polis Kuang meneruskan usaha pencarian di kawasan Taman Kluang Barat, Taman Desa dan kawasan berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Bagaimanapun, pada 11.30 pagi, kami menerima laporan daripada pekerja tapak binaan yang menemui seorang warga emas dalam keadaan terbaring di atas longgokan tanah liat dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Pekerja berkenaan kemudian membantu mengangkat wanita itu ke tempat selamat sebelum menghubungi pasukan perubatan untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Mohd Abduh berkata, anak wanita berkenaan mengesahkan wanita berkenaan adalah ibunya yang hilang ketika pemeriksaan dilakukan di Wad Kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

"Pemeriksaan badan yang dilakukan mendapati beg duit serta sejumlah wang tunai, kad pengenalan selain kunci rumah masih berada di dalam poket seluar mangsa dan disahkan tiada unsur jenayah berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Abduh menafikan berita yang diviralkan di dalam laman sesawang Facebook "Kami Sayang Kluang" yang mengatakan kejadian penemuan mayat seorang wanita dikuburkan hidup-hidup di tapak projek pembinaan di Kluang.

Katanya, pihak Polis menasihatkan orang ramai agar tidak memviralkan berita tidak benar dan membuat pengesahan daripada sumber dipercayai terlebih dahulu bagi mengelakkan kebimbangan dan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 8:28 AM