GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Budak perempuan berusia lapan tahun menanggung derita apabila bukan sahaja dibuli, malah turut mendakwa dipukul dan ditumbuk sehingga cedera oleh sekumpulan kanak-kanak lain di satu kawasan perumahan di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pengasuh kanak-kanak itu pada 11 April lalu.

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu cedera dipercayai diperlakukan oleh kira-kira empat hingga lima kanak-kanak lain yang juga jiran kepada pengasuh terbabit.

"Suspek dalam kes ini adalah kanak-kanak bawah umur berusia antara enam hingga lapan tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Nasir berkata, polis akan memanggil kesemua kanak-kanak yang disyaki terbabit kejadian itu untuk diambil keterangan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Tasnim Muhamed Nor di talian 014-6209960 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, hantaran dimuat naik pengguna X tular di media sosial, mendakwa seorang kanak-kanak perempuan dibuli dan dicederakan sekumpulan kanak-kanak lain.

Hantaran itu turut menyebut mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan perlu menjalani pembedahan pada kaki.

Dimaklumkan juga yang mulut kanak-kanak itu dilekatkan pita pelekat, kaki diketuk dengan batu dan lain-lain kecederaan.

Pemilik akaun itu memaklumkan pemeriksaan oleh pihak hospital mengesahkan terdapat kecederaan terkoyak tisu kaki dan tiada kecederaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 3:24 PM