Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Dua pusat panggilan merekod hasil penipuan dan menawarkan khidmat siaran tidak wujud yang beroperasi di Cheras di sini, tumpas selepas diserbu polis pada 10 dan 12 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 13 individu terdiri daripada 11 warga asing dan dua warga tempatan ditahan dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, serbuan pertama pada 10 April di sebuah premis berjaya menahan lapan individu yang disyaki membekal sistem merekod dan mengira hasil penipuan dalam talian bagi sindiket tipu tawaran kerja dengan menyasarkan warga China.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak Mac lalu yang mana bayaran dikenakan sebanyak RM1,000 untuk sindiket lain menggunakan sistem terbabit.

"Mereka berfungsi sebagai pembekal sistem rekod dan mengira wang untuk penipuan dalam talian (tipu tawaran kerja) yang menumpukan warga China.

"Sindiket berperanan sebagai pengaturcara dalam sistem pengurusan kewangan untuk sindiket penipuan dalam talian," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sindiket dikesan sudah menjual sistem itu kepada lima pelanggan di China.

Kata beliau, semua pembayaran dilakukan dalam USDT (mata wang kripto) dan akan disimpan dalam akaun e-dompet yang disediakan majikan mereka di China.

"Polis merampas komputer riba, monitor, 10 telefon bimbit, modem, router dan wang tunai berjumlah RM3,122," katanya.

Bagi serbuan kedua di Taman Maluri, Cheras pada 12 April lalu, beliau berkata, JSJK menumpaskan sindiket pusat panggilan menawarkan perkhidmatan penyiaran penipuan kepada warga China.

Menurutnya, seramai lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan tiga lelaki China berusia antara 28 dan 33 tahun berjaya ditahan.

Tambahnya, sindiket menawarkan pakej penyiaran televisyen, drama dan filem palsu yang menumpukan kepada warga China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:13 PM
RAMLI (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan terhadap sindiket penipuan atas talian. FOTO Hairul Anuar Rahim.
RAMLI (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan dalam serbuan terhadap sindiket penipuan atas talian. FOTO Hairul Anuar Rahim.