ANTARA individu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelaburan dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Perak, Kuala Lumpur, hari ini.
ANTARA individu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelaburan dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Perak, Kuala Lumpur, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 35 individu termasuk enam warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian menerusi serbuan di sebuah kondominium di Jalan Perak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan pada jam 3 petang.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 29 lelaki dan enam wanita termasuk enam individu warga China berusia antara 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.

"Kami turut merampas 172 telefon bimbit pelbagai jenama serta 46 komputer dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati kegiatan penipuan itu beroperasi sejak April lalu dengan menyasarkan pelabur dari China.

"Berdasarkan pengakuan daripada pekerja yang ditahan, mereka dipercayai bekerja selama kira-kira satu bulan dengan ditawarkan gaji bulanan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000.

"Semua pekerja berkenaan mengetahui peranan mereka iaitu mencari pelabur di media sosial dengan menawarkan penyertaan skim pelaburan saham di China, Taiwan dan Hong Kong.

"Difahamkan sindiket berkenaan menyewa premis terbabit pada kadar RM10,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 7:16 PM