FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Enam individu termasuk seorang warga China disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membuat serbuan ke atas rumah yang dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti penipuan.

"Polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 38 tahun, turut dirampas sebanyak 19 unit telefon pintar pelbagai jenis, empat unit komputer riba, dua unit router internet dan satu set kunci rumah.

"Hasil siasatan mendapati sindiket menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menawarkan pelaburan saham tidak wujud di China," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sindiket ini menggunakan akaun palsu 'Snowball Finance' (Xueqiu) untuk mencari mangsa di China, seterusnya menawarkan pelaburan dalam talian.

"Xueqiu adalah sebuah laman sesawang antara rangkaian sosial kewangan paling popular dalam kalangan pelabur di China.

"Polis ingin mengingatkan kepada mana-mana individu supaya tidak bekerja dengan sindiket penipuan dalam talian dan menjadikan pekerjaan di pusat panggilan sindiket berkenaan sebagai sumber pendapatan," katanya.

Katanya, pekerjaan seperti ini adalah satu kesalahan jenayah dan mereka yang terbabit boleh dituduh di mahkamah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114242," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 11:28 AM