RAMLI pada sidang media mengenai sindiket penipuan dalam talian di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
RAMLI pada sidang media mengenai sindiket penipuan dalam talian di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Sambutan Aidilfitri ini menyaksikan sejumlah 871 kes penipuan dalam talian direkodkan polis yang membabitkan kerugian hingga lebih RM37 juta.

Pengarah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu bagi tempoh 1 hingga 14 April lalu, namun lebih rendah berbanding tahun sebelumnya yang mencatat 1,465 kes (rugi RM56,763,770.12).

Katanya, jenayah telekomunikasi menjadi kes tertinggi dengan 342 kes, diikuti jenayah e-dagang 217 kes dan 157 kes pelaburan tidak wujud.

"Sebanyak 112 kes adalah pinjaman tidak wujud, 29 kes jenayah e-kewangan dan 14 kes love scam.

"Semua kes ini membabitkan kerugian RM37,285,656.52," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata, beliau percaya peningkatan kesedaran rakyat terhadap jenayah penipuan dalam talian mendorong kepada pengurangan kes, malah perayaan tidak memberi pengaruh ketara.

Sementara itu, katanya, secara keseluruhannya sebanyak 8,913 kes dengan kerugian sebanyak RM835,094,925.91 setakat minggu ke-15 sehingga 14 April ini dan penurunan 11 peratus berbanding tahun lalu.

"Tahun lalu mencatatkan sebanyak 10,010 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM504,434,199.22, tetapi nilai kerugian pada tahun ini mencatatkan peningkatan yang besar iaitu sebanyak 66 peratus," katanya.

Ramli berkata, sebanyak 51 peratus atau 4,541 kertas siasatan berjaya dibawa ke mahkamah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 14 April

"Berdasarkan statistik, pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 4,331 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:23 PM