RAMLI Mohamed Yoosuf ketika sidang media  berkaitan situasi semasa jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO Farhan Razak
RAMLI Mohamed Yoosuf ketika sidang media berkaitan situasi semasa jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO Farhan Razak
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Jumlah kerugian akibat kes jenayah komersial sejak Januari hingga 24 Mac lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 89 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sehingga 24 Mac lalu, sebanyak 7,348 kes jenayah komersial direkodkan membabitkan kerugian lebih RM770 juta.

"Bagi tempoh sama tahun lalu, sebanyak 7,986 kes direkodkan dengan nilai kerugian lebih RM407. Walaupun kes berkurangan namun nilai kerugian menunjukkan peningkatan cukup besar," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, semalam.

Menurutnya, peratusan pertuduhan bagi kes jenayah komersial menunjukkan peningkatan yang baik sepanjang tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sebanyak 3,785 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 24 Mac dan jumlah ini bersamaan 52 peratus dari jumlah kertas siasatan yang dibuka tahun ini.

"Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 3,463 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus," katanya.

Ramli berkata, seramai 4,131 individu ditahan membabitkan 71 peratus lelaki dan 29 peratus wanita yang disyaki terbabit dengan aktiviti jenayah komersial bagi tempoh Januari hingga Mac.

Katanya, sebanyak 75 peratus daripada mereka yang ditahan berperanan sebagai pemilik akaun keldai, pekerja am (13 peratus), dalang sindiket (tujuh peratus), operator (tiga peratus) dan penyelia (satu peratus).

"Majoriti yang ditahan tidak mempunyai pendidikan tinggi yang mana hanya satu peratus daripada mereka memiliki ijazah dan empat peratus pemegang sijil diploma.

"Manakala sejumlah besar iaitu 84 peratus daripada yang ditahan hanya berpendidikan sekolah menengah dan selebihnya sebanyak 11 peratus sekolah rendah s" katanya.

Menurutnya, individu warga tempat yang ditahan membabitkan 59 peratus berbangsa Melayu, Cina (22 peratus), India (14 peratus) dan lain-lain kaum (lima peratus) serta selebihnya warga asing.

Katanya, antara warga asing paling ramai ditahan membabitkan rakyat China diikuti Indonesia, Guinea, Bangladesh, Nigeria dan lain-lain warga negara.

Menurutnya, sejumlah besar yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun sebanyak 36 peratus, 31 hingga 40 tahun (30 peratus), 41 hingga 50 tahun (20 peratus), 51 hingga 60 tahun (lapan peratus), 60 ke atas (lima peratus) dan bawah 18 tahun (satu peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 12:43 PM