SEORANG lelaki Orang Asli rebah dipercayai keletihan dan tidak sedarkan diri. FOTO  Amir hamzah Nordin
SEORANG lelaki Orang Asli rebah dipercayai keletihan dan tidak sedarkan diri. FOTO Amir hamzah Nordin
Amir Hamzah Nordin


Lipis: Lelaki Orang Asli sugul dan kurang bercakap kerana tidak bekerja beberapa hari dan wang belanja untuk membeli barang dapur sudah tiada pada malam sebelum masuk ke hutan di Kampung Sungai Sekin, Batu 9 dekat sini.

Batin Atong, 55, berkata, anak buahnya, Johan Les, 37, tidak sabar untuk masuk ke hutan mencari rotan dan minta diri untuk masuk tidur awal dan enggan bersembang lama.

"Saya lihat gelagat dia yang tidak banyak bercakap dan muram seolah-olah ada sesuatu yang tidak disenanginya, tidak seperti selalu kerana dia suka bersembang hingga lewat malam, saya fikir mungkin dia risau duit belanja sudah tiada.

"Apa yang saya tahu, sebelum ini sihat dan kuat bekerja, dia boleh menebang dan menarik rotan di hutan tebal Kechau, inilah pekerjaan penduduk di sini termasuk mencari sumber hutan lain untuk dijual," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Lipis di sini, hari ini.

Johan dilaporkan meninggal dunia ketika keluar ke hutan pada 8.30 pagi semalam untuk mencari rotan.

Menurutnya, mangsa mempunyai lima orang anak pergi ke dalam hutan bersama isterinya serta enam orang penduduk lain dengan berjalan.

"Isterinya, Bayam memaklumkan suaminya cuma menebang sebanyak lima batang rotan sahaja dan mengheret keluar dengan mendaki bukit dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Johan ada mengadu sangat letih dan berasa sakit dada dan mahu berehat di satu tempat ketika dalam perjalanan pulang lalu meminta isterinya pulang dahulu," katanya.

Menurutnya, kemudiannya isterinya menunggu agak lama tetapi Johan tidak tiba ke rumah dan menyebabkannya mula berasa risau.

Katanya, dia bersama penduduk lain pergi semula ke tempat Johan berehat dan menemui Johan sudah tidak sedarkan diri dan terus membawa keluar ke pondok tempat tinggal dan kemudiannya terus membuat aduan ke Ibu Pejabat Polis Darah (IPD) Lipis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Ismail Man mengesahkan seorang lelaki Orang Asli meninggal dunia selepas keluar mencari rotan di hutan.

"Mayatnya dibawa ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat dan keputusannya mendapati sebab kematian adalah kerana 'Severe Chest Infection' iaitu jangkitan kuman pada paru-paru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:48 PM