Johan belum sedia kongsi cerita. FOTO HM
Johan belum sedia kongsi cerita. FOTO HM
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Johan As'ari mengakui sedang menjalin hubungan dengan seorang pelakon wanita namun belum bersedia mendedahkan identiti pelakon itu.

Menurut Johan, 30, mereka mula rapat sejak tahun lalu dan merancang untuk ke fasa lebih serius.

"Saya menghormatinya sebagai wanita jadi tak manis untuk terlalu terbuka bercerita mengenai perkara ini. Apatah lagi hubungan kami baru lagi. Pada masa sama kami masih dalam proses mengenali hati budi.

"Tak dinafikan saya selesa berkawan dengannya. Malah dia juga mengenali dan rapat dengan keluarga saya," katanya kepada Harian Metro.

Johan yang juga pelakon filem Juvana sedia berkongsi perkara itu sekiranya ada khabar gembira mengenai hubungan mereka.

Kenyataan Johan itu sekali gus menafikan dia mempunyai hubungan dengan pelakon Wan Sharmila.

Johan dilihat keluar bersama Wan di sebuah lokasi kedai makan sebelum gosip itu tersebar di Internet.

"Saya memang mengenali Wan Sharmila tapi kami tak rapat. Ketika itu kami berlakon bersama dalam drama Jejak Karmila. Kebetulan filem saya Juvana 3 sedang ditayangkan jadi saya mengajaknya untuk pergi menonton.

"Disebabkan waktu tayangan tidak kena, jadi kami tukar rancangan dengan pergi minum. Kalau nak tahu, kami tidak keluar berdua sebaliknya berempat.

"Pun begitu, mungkin disebabkan kami artis jadi orang hanya perasan kami. Apa pun saya tak marah individu yang menyebarkan cerita ini. Ia menunjukkan mereka masih prihatin terhadap saya," katanya.

Johan turut menjelaskan itu adalah kali pertama dan terakhir dia serta Wan Sharmila keluar bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 7:45 PM