NASUHA menjaga anak ketiganya, Muhammad Hakim  yang lumpuh akibat kemalangan. - FOTO NAZDY HARUN
NASUHA menjaga anak ketiganya, Muhammad Hakim yang lumpuh akibat kemalangan. - FOTO NAZDY HARUN
Oleh Nazdy Harun


Kuala Berang: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Situasi itu kini dilalui sebuah keluarga apabila empat daripadanya dikategorikan orang kurang upaya (OKU), menghidap penyakit jantung dan lumpuh akibat kemalangan.

Nasuha Abdullah, 52, dari Kampung Pantai Ali, dekat sini, berkata, dia disahkan mengalami injap jantung bocor dan kini bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan hospital.

Menurutnya, suaminya Somsudin Someh, 56, juga mengalami masalah saluran jantung tersumbat dan sudah melakukan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada hujung November lalu.

Katanya, berikutan itu dia tidak boleh melakukan kerja berat dan banyak menghabiskan masa di rumah, manakala suaminya pula hanya melakukan kerja kampung yang ringan dan bersesuaian.

"Anak bongsu Nur Kasih Damia Suhada, 14, OKU dengan mengalami pelbagai masalah antaranya tidak mampu menguruskan diri dan hiperaktif, malah masih perlu menggunakan lampin pakai buang.

"Nur Kasih memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400, manakala RM300 iaitu bantuan penjagaan anak OKU," katanya.

Menurutnya, kehidupan mereka terus berdepan dugaan apabila anak ketiga, Muhammad Hakim Firdaus, 16, terbabit dalam kemalangan pada Disember tahun lalu.

"Akibat kejadian itu, Hakim Firdaus kini terlantar di rumah dan memerlukan penjagaan sepanjang masa selain bergantung kepada susu khas dan lampin pakai buang.

"Saya memerlukan lebih RM3,000 sebulan untuk membeli susu khas buat Hakim Firdaus disebabkan harga susu khas itu mahal antara RM160 hingga RM180.

"Susu khas berkenaan perlu disediakan sebanyak enam kali sehari dan ia belum termasuk dengan kos pembelian lampin pakai buang," katanya.

Nasuha berkata, dua lagi anaknya Mohammad Naim Aiman, 18, masih menunggu keputusan Sijil Pelajar Malaysia (SPM), manakala anak sulungnya Muhammad Rasul Haziq, 20, kini belajar di Institut Kemahiran Belia Negara, Wakaf Tapai, Marang.

"Alhamdulillah, penduduk kampung ini amat pemurah kerana mereka bersatu hati membantu apabila mengetahui keadaan keluarga kami dalam keadaan kesempitan seperti ini.

"Dengan wang bantuan penduduk kampung juga, saya menyewa ambulans swasta dengan kos RM280 pergi dan balik untuk membawa Hakim Firdaus ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Menurutnya, masalah lain yang timbul apabila suaminya tidak mampu melunaskan tunggakan bayaran rumah mesra rakyat dihuni mereka kerana tiada pekerjaan tetap.

"Akibat pendapatan tidak menentu mengakibatkan bayaran rumah sudah tertangguh sejak lebih setahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:02 AM