KEADAAN Farisha yang terlantar akibat masalah saraf dan sering diserang sawan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
KEADAAN Farisha yang terlantar akibat masalah saraf dan sering diserang sawan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: "Farisha sudah berusia tujuh tahun tapi saya perlu jaga dia seperti bayi kerana masalah saraf dan sawan dialaminya sejak berusia lima bulan," kata Nurul Shuhada Zulkifl, 29.

Ibu kepada empat anak itu berkata, anaknya, Wan Nor Farisha Wan Muhamad Azlin tidak dapat hidup normal seperti kanak-kanak lain apabila hampir semua anggota badannya terjejas akibat penyakit berkenaan.

Menurutnya, Farisha juga hanya boleh minum susu khas yang diberi melalui tiub di hidung setiap empat jam selain perlu bergantung kepada mesin penyedut kahak.

"Anak saya terlantar, otaknya tidak berfungsi seperti kanak-kanak lain menyebabkan anggota badannya seperti telinga, mata, jantung turut terkesan.

"Dia minum susu khas berharga RM166 setin dan setiap bulan kami memerlukan empat tin susu. Selain itu, Farisha perlu berada di bilik berhawa dingin bagi mengelak dia diserang sawan atau demam," katanya yang tinggal di rumah sewa di Kampung Bukit, Jalan Naka dekat sini.

Nurul Shuhada berkata, pendapatan suaminya, Wan Muhamad Azlin Wan Ismail, 33, yang bekerja di kilang beras dengan pendapatan RM1,200 sebulan tidak mampu menampung keperluan keluarga.

Katanya, setiap bulan suaminya perlu membayar sewa rumah sebanyak RM300 dan kos membeli susu kira-kira RM600 selain menanggung anak-anak yang lain.

"Farisha terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, duit itu diguna sebaik mungkin untuk beli barang keperluannya termasuk lampin pakai buang.

"Farisha juga makan empat ubat sehari selain kami perlu membeli vitamin khas untuknya. Sekarang kami sudah berhenti beli vitamin itu kerana tidak mampu.

"Malah rawatan susulan bagi berjumpa doktor pakar jantung dan genetik setiap tiga bulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) juga kami tidak pergi kerana masalah kewangan," katanya.

Nurul Shuhada berkata, kehidupan mereka sekeluarga hanya cukup-cukup makan selain perhatian perlu diberi kepada tiga lagi anaknya berusia lapan, enam dan setahun.

Orang ramai yang sudi membantu boleh menghubungi Nurul Shuhada di talian 019-9211496.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 12:09 PM