Radzi Abdul Mutalib (kiri) ketika menunggu jenazah bapanya, Abdul Mutalib Abdullah, 73, yang meninggal dunia akibat digilis treler di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Radzi Abdul Mutalib (kiri) ketika menunggu jenazah bapanya, Abdul Mutalib Abdullah, 73, yang meninggal dunia akibat digilis treler di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya sangka ayah hanya kemalangan biasa kerana nampak hanya gambar ambulans yang dihantar dalam kumpulan (aplikasi) WhatsApp keluarga.

"Tidak sangka ayah sudah tiada," kata Syeikh Radzi Abdul Mutalib.

Syeikh Radzi, 51, yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) berkata, pada mulanya dia pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk melakukan semakan tetapi dimaklumkan nama mangsa kemalangan iaitu bapanya, Abdul Mutalib Abdullah, 73, tiada di situ.

Katanya, dia kemudian ke Hospital Lama Alor Setar kerana menyangka mungkin bapanya dihantar ke situ namun tiada menyebabkan dia terus ke lokasi kejadian di Jalan Gangsa, Mergong untuk melihat apa yang berlaku.

"Sebaik tiba, saya menerima banyak kiriman WhatsApp kumpulan rakan sekolah yang mengucapkan salam takziah dan ketika itulah baru saya tahu ayah sudah meninggal dunia.

"Saya tahu ayah kemalangan jam 10.45 pagi, iaitu hampir sejam selepas kemalangan berlaku dan ketika itu, saya di tempat kerja, tidak jauh dari lokasi kemalangan," katanya ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini, hari ini.

Syeikh Radzi berkata, bapanya dipercayai keluar membeli ubi di pasar Jalan Gangsa kerana ibunya berniaga kuih di hadapan rumah mereka di Kampung Kubang Teduh, Mukim Gunong, dekat sini.

Katanya, ketika itu, bapanya keluar seorang diri dengan menunggang motosikal Honda EX-5 dari rumah mereka dan sempat membeli ubi berkenaan.

"Saya dimaklumkan, ayah sudah beli ubi tetapi mungkin dia tinggalkan dulu di pasar berkenaan kerana hendak ke masjid tidak jauh dari lokasi kejadian untuk belajar mengaji.

"Ayah selalu pergi ke masjid berbeza setiap hari dan tak sangka, dia terbabit kemalangan dan pergi buat selama-lamanya pada 8 Syawal," katanya.

Syeikh Radzi yang juga anak sulung daripada tujuh beradik berkata, kali terakhir dia bertemu dengan bapanya ialah pada semalam, ketika singgah di rumah bapanya itu di Kampung Kubang Teduh pada tengah hari sementara menunggu solat Zohor.

Katanya, tempat kerjanya di Mergong tidak jauh dari rumah dan dia sempat membeli pasembor kegemaran bapanya pada waktu rehat.

"Tiada langsung perubahan pada arwah semalam dan kami berbual seperti biasa.

"Malah, ketika sambutan Aidilfitri minggu lalu, arwah kelihatan gembira menyambut kepulangan tujuh anak beraya ke kampung bersama lebih 20 cucu.

"Namun tidak disangka, ini kali terakhir kami menyambut Aidilfitri bersama-sama," katanya.

Menurutnya, jenazah bapanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Teduh selepas solat Isyak malam ini, selepas selesai urusan di Jabatan Forensik HSB.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat digilis treler selepas terjatuh daripada motosikalnya di Jalan Gangsa, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di badan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:24 PM