PEGAWAI JAIK memeriksa bilik yang disewa pasangan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Gangsa. FOTO Ihsan JAIK
PEGAWAI JAIK memeriksa bilik yang disewa pasangan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Gangsa. FOTO Ihsan JAIK
Zuliaty Zulkiffli


LAGAK sepasang kekasih yang mendakwa kononnya sudah bernikah di Songkhla, Thailand ketika dicekup berkhalwat awal pagi, hari ini tidak menjadi apabila mereka sebenarnya didapati belum berkahwin.

Lelaki masih berstatus suami itu memberi alasan berkenaan untuk mengelak ditahan bersama pasangannya dalam operasi malam tadi.

Dalam serbuan sekitar 12 tengah malam tadi, pasangan itu dicekup khalwat di hotel di Jalan Gangsa, Mergong, di Alor Setar oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bersama anggota polis dalam Operasi Bersepadu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya bertindak berdasarkan aduan orang awam berhubung kegiatan maksiat dilakukan pasangan terbabit.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu masih berstatus suami manakala pasangannya berstatus janda.

“Kedua-dua mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di bandar raya ini.

“Mereka memberi alasan tujuan menyewa di hotel itu untuk sekadar makan di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radzi berkata, pada mulanya mereka memberi alasan sudah bernikah di Thailand, namun selepas disoal siasat pegawai kami, mereka akhirnya mengaku tidak berkahwin.

Berikutan itu katanya, mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat dan ditahan sebelum dibawa ke pejabat JAIK untuk diambil keterangan.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan keluarga sebelum diminta hadir ke perbicaraan di mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali,” katanya.

Operasi ini disertai 13 anggota JAIK dan 10 anggota polis dari Balai Polis Kota Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 9:46 AM