PETUGAS JKR meletakkan papan tanda amaran di lokasi Jalan Jelatang-Durian Tungga. FOTO Ihsan FB JKR Melaka.
PETUGAS JKR meletakkan papan tanda amaran di lokasi Jalan Jelatang-Durian Tungga. FOTO Ihsan FB JKR Melaka.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Dua laluan utama iaitu Jalan Jelatang-Durian Tunggal dan Jalan Gangsa-Kesang Pajak ditutup kepada semua kenderaan berikutan air sungai melimpah susulan hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang, hari ini.

Berdasarkan kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka memaklumkan kedua-dua jalan berkenaan ditutup selepas air melimpah dalam jarak 200 dan 300 meter setakat jam 8.30 hingga 9 malam.

Menurut kenyataan itu, laluan terjejas bagi Jalan Jelatang-Durian Tunggal adalah sepanjang 200 meter dekat persimpangan Taman Nuri dan pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Belimbing Dalam - Parit Melana (M130).

"Bagi Jalan Gangsa-Kesang Pajak laluan ditutup selepas paras air Sungai Garing meningkat antara 900 hingga 1,000 milimeter dan melimpah dekat Jambatan Sungai Garing/Scientex Durian Tunggal.

"Laluan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan dan pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Bukit Tambun-Bukit Bulat (M147).

"JKR Melaka melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk pemasangan kon dan papan tanda sementara," menurut catatan itu.

Dalam perkembangan saman, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, hujan lebat berterusan hingga kini menyebabkan beberapa kampung di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas banjir kilat iaitu Durian Tunggal, Taboh Naning, Lendu dan Ayer Limau.

"Antara kawasan terjejas banjir kilat adalah di Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok China, Kampung Sungai Jernih dan Taman Masjid Tanah Ria.

"Ketika ini anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau rapi kawasan terjejas dan orang ramai diminta peka dan mengikut arahan pasukan penyelamat bagi mengelak sebarang risiko banjir," katanya dalam kenyataan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 11:40 PM