JENTERA pilihan raya MUDA memasang khemah hitam berhadapan pasar raya di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
JENTERA pilihan raya MUDA memasang khemah hitam berhadapan pasar raya di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Khemah mudah alih hitam di hadapan sebuah pasar raya di pekan ini bukan tempat menjual kuih sebaliknya ia adalah pusat aktiviti calon parti MUDA Parlimen Masjid Tanah, Mutalib Uthman.

Berbeza dengan parti lain yang mempunyai bilik gerakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), khemah di laluan sibuk tidak jauh dari pasar raya di Taman Masjid Tanah Ria, di sini, berfungsi sebagai pusat aduan untuk anggota komuniti.

Mutalib berkata, khemah berkenaan dipasang jentera pilihan raya MUDA pada setiap jam 5 petang dan sedia menerima kunjungan anggota komuniti hingga jam 7 petang.

"Di khemah itu kami tidak menjual kuih, sebaliknya kami menerima pelbagai aduan orang ramai terutama mengenai infrastruktur di kawasan masing-masing.

"Kami juga mengedarkan risalah mengenai saya sebagai calon dan matlamat perjuangan MUDA untuk membawa kemajuan di kawasan ini," katanya tadi.

Mutalib yang ditemani kira-kira lapan anggota jentera MUDA yang kebanyakannya dari luar Melaka, berkempen dari satu kampung ke kampung lain dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda hitam dipasang bendera MUDA.

Katanya, setakat ini beliau dan jentera sudah bertemu ramai pengundi di DUN Taboh Naning, Ayer Limau, Kuala Linggi, Lendu dan Tanjung Bidara bagi menjelaskan cadangannya untuk memajukan Parlimen Masjid Tanah jika menang.

Katanya, setiap kali berkempen di Taboh Naning, beliau dan jentera tidak mahu melepaskan peluang menikmati daging salai masak lemak cili api yang menjadi kegemaran anggota komuniti yang bersempadan dengan Negeri Sembilan.

"Kempen di Taboh Naning seperti di Simpang Ampat dan kampung lain yang bersempadan dengan Rembau, Negeri Sembilan tidak akan sah jika tidak menjamah daging salai masak lemak cili api," katanya berseloroh.

Beliau menghadapi saingan calon penyandang Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dari PN, Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG) dan Abdul Hakim Abdul Wahid (BN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 1:44 PM