Pengerusi MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharrudin Mustapha bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mycare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar bergambar bersama penaja misi bantuan pada sidang media misi bantuan kemanusian ke Gaza (freedom flotilla coalition) di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare). FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pengerusi MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharrudin Mustapha bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mycare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar bergambar bersama penaja misi bantuan pada sidang media misi bantuan kemanusian ke Gaza (freedom flotilla coalition) di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare). FOTO HAZREEN MOHAMAD
Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Seramai 20 aktivis Malaysia akan menyertai Misi Flotila ke Gaza yang dijangka berlepas pada Ahad ini.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Dr Ir Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, misi itu membabitkan 1,000 aktivis dari seluruh dunia.

"Secara keseluruhan misi ini akan membabitkan lebih daripada 30 negara yang terdiri pengamal media, doktor dan aktivis kemanusiaan.

"Misi ini akan bermula di Istanbul Turki pada Khamis ini sebagai persediaan akhir dan dijangka berlepas ke Gaza pada Ahad ini.

"Tiga kapal juga akan berlayar pada bulan ini yang terdiri daripada satu kapal kargo dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang, pek makanan, pakaian, dan barangan keselamatan serta kesihatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), di sini, hari ini.

Menurutnya, misi bantuan ini adalah gerakan multinasional bagi mencabar sekatan haram Israel dan memberi kesedaran antarabangsa terhadap keganasan di Gaza.

Turut hadir, Ketua Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan.

Bercerita lanjut, Fauziah menegaskan isu keselamatan aktivis keutamaan mereka untuk selamat sampai menghantar barangan bantuan ke Gaza.

"Kami akan memberi tekanan kepada Israel dan Amerika Syarikat untuk menjamin keselamatan kami bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Apa yang penting adalah rundingan daripada mereka untuk membenarkan kami masuk ke Gaza," katanya.

Kamal berkata, misi kemanusiaan itu membabitkan pelbagai latar belakang Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari serata dunia.

"NGO antarabangsa yang terlibat adalah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Insani Yardim Vakfi (IHH), Ship to Gaza Norway, Rumbo A Gaza, US Ship to Gaza, dan Sweeden ship to Gaza.

"Turut tersenarai, Canadia boat to Gaza, Freedom Flotilla Italia, Kia Ora to Gaza, Palestine Solidarity Alliance, Mavi Marmara Freedom and Solidarity Association, Miles of Smiles, Free Gaza Australia," katanya.

Sementara itu, seorang peserta misi Flotila ke Gaza, Norsham Abu Bakar, 62, berkata, kerisauan bukan alasan bagi beliau untuk menjalani misi ke Gaza.

"Sebelum ini, saya mempunyai pengalaman menyertai misi Women Boat to Gaza dan kini saya lebih tenang untuk mengikuti misi Break the Seige.

"Alhamdulillah, keluarga tidak menghalang saya untuk ikut mana-mana aktiviti kemanusiaan. Mereka selalu menyokong saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 4:47 PM