Saadiah Ismail


WAKIL Malaysia yang ditawan bersama kapal Al-Awda yang dalam perjalanan menuju ke Gaza, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh memohon semua pihak untuk mendesak Israel supaya membebaskan semua peserta misi ‘Just Future for Palestine’ (#JFP) itu.

Menerusi satu video disiarkan dalam Facebook (FB) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), beliau berkata kapal berkenaan ditawan dan mereka diculik dari perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan ke Gaza.

“Jika anda menonton video ini, saya ingin maklumkan kapal kami yang dalam perjalanan membawa bekalan ubat kepada rakyat Gaza ditahan, diculik dan bot kami ditawan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.

“Kepada semua pemimpin Malaysia dan dunia, saya merayu untuk menghubungi pihak berkuasa Israel supaya membebaskan semua tawanan segera bagi memastikan keselamatan semua dalam misi ini.

“Terima kasih dengan pertolongan dan doa daripada semua,” katanya.

Seramai 22 aktivis termasuk Dr Mohd Afandi diculik tentera Israel pada 7.15 malam tadi (waktu Malaysia) di perairan antarabangsa.

Sementara itu, dalam sidang media di pejabatnya di Seri Kembangan, hari ini, Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, berkata tindakan Israel merampas dan menculik anak kapal Al-Awda di perairan antarabangsa dianggap sebagai mencabul kehormatan undang-undang maritim.

Katanya, Israel tidak berhak menahan kapal Al-Awda daripada belayar di perairan antarabangsa dan tindakan menghalang masuk ke Gaza serta menyekat semua akses luar bertentangan dengan Konvensyen Geneva Keempat yang menegah hukuman kolektif ke atas mana-mana komuniti.

“Tindakan merampas dan membawa anak kapal masuk ke Israel secara paksa adalah satu rompakan dan penculikan, malah mereka tidak berhak melayan anak kapal seperti penjenayah.

“Kapal Al-Awda belayar secara aman tanpa provokasi, tidak membawa senjata dan hanya membawa mesej solidariti serta sedikit bantuan perubatan.

“Justeru tindakan Israel ini tidak ubah seperti lanun,” katanya.

Hadir sama, isteri Mohd Affandi, Ayu Mazlan, 45 dan dua anaknya Anis Afifah, 20 serta Adib Affandi, 11.

Ketika ini, semua anak kapal Al-Awda berada dalam keadaan selamat dan kapal mereka ditunda di Pelabuhan Ashdod.

Kapal Al-Awda sudah belayar sejak 22 Mei lalu bermula dari Copenhagen, Denmark dengan misi #JFP membawa penyertaan 13 orang rakyat Malaysia secara bergilir-gilir.

Ia mempunyai tujuan kemanusiaan dengan menghantar 116 kotak bekalan ubatan bernilai hampir RM62,000 disebabkan keadaan begitu kritikal.

Misi ini bertujuan membebaskan Gaza daripada sekatan zalim Israel yang berlanjutan lebih daripada 12 tahun.

Dr Hafidzi berkata, MyCARE sudah menghubungi dan memaklumkan kepada Wisma Putra supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“MyCARE dengan bantuan Freedom Flotilla Coalition (FFC) sudah mengaktifkan komunikasi dengan pasukan peguam bagi membantu pembebasan Mohd Affandi.

“Peguam yang akan menguruskannya ialah Gaby Larsky iaitu peguam sama yang menguruskan pembebasan remaja Palestin semalam.

“Justeru MyCARE menggesa supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) turut menggunakan peruntukan yang ada untuk menjamin keselamatan anak kapal daripada 16 negara sehingga selamat pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ayu berkata, beliau sudah bersedia dengan semua kemungkinan yang akan berlaku dan berharap Israel dapat membebaskan suaminya serta anak kapal lain dengan selamat.

“Kali terakhir berhubung dengan suami adalah semalam dan dia menyatakan semuanya baik saja. Tetapi apabila mengetahui mengenai penahanan itu, saya cemas dan takut.

“Namun atas nasihat dan yakin dengan perancangan MyCARE, saya reda dengan harapan semuanya akan baik saja.

“Bagi saya tindakan Israel begitu kejam kerana ini adalah bantuan kemanusiaan daripada semua negara termasuk bukan Islam. Jadi saya berharap tindakan mereka akan mendapat pembalasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:17 PM
DR Hafidzi (dua dari kanan) bersama Ayu (kanan) pada sidang media di pejabat MyCARE di Seri Kembangan, hari ini.
DR Hafidzi (dua dari kanan) bersama Ayu (kanan) pada sidang media di pejabat MyCARE di Seri Kembangan, hari ini.