GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Bekalan elektrik terputus antara faktor berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Muadzam Shah dan Keratong di Rompin sebelum dan selepas Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Razali Kassim, berkata ketika ini, bekalan air akan beransur pulih mengikut kawasan yang terbabit.

Katanya, masalah bekalan elektrik yang terputus sudah diatasi dan kini beberapa loji rawatan air (LRA) kembali beroperasi seperti biasa.

"Kita jangkakan gangguan bekalan air ini akan pulih sepenuhnya minggu ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah berkata demikian ketika diminta mengulas gangguan bekalan air yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di Muadzam Shah dan Keratong hingga menyukarkan pengguna.

Difahamkan, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan tangki statik dan lori tangki untuk kemudahan kepada pengguna yang berdepan gangguan bekalan air itu.

Sementara itu, menerusi hantaran Facebook rasmi PAIP, insiden luar jangka itu segera ditangani menerusi Pelan Kesiapsiagaan PAIP dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"TNB segera bertindak membaik pulih sistem bekalan elektrik ke LRA kembali seperti sedia kala seterusnya sistem rawatan air dapat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 4:17 PM