FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 1,224 tangki statik dan 34 lori tangki disediakan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air ketika sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari, berkata tangki statik itu akan ditempatkan di beberapa lokasi berisiko tinggi di setiap daerah bermula 3 April lalu.

Katanya, persediaan itu untuk sebarang insiden luar jangka yang berkemungkinan berlaku ketika musim perayaan seperti paip pecah, terputus bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) atau pencemaran sumber air mentah.

"Sebanyak 34 lori tangki PAIP dalam keadaan baik dan sedia bagi penghantaran bekalan air alternatif jika berlaku gangguan bekalan.

"Pelantikan kontrak bertempoh perkhidmatan tunggu sedia lori tangki jumbo bagi mempercepatkan urusan agihan air oleh lori tangki.

"Penyediaan 30 stesen pengisian di seluruh Pahang sebagai persediaan pengambilan air untuk kegunaan agihan bekalan alternatif," katanya pada Majlis Berbuka Puasa PAIP di sini, malam tadi.

Saiful Zaini berkata, pihaknya turut menyediakan generator dengan kerjasama tenaga Nasional berhad (TNB) bagi LRA yang berada di kawasan berisiko tinggi terputus bekalan elektrik ketika musim perayaan.

Katanya, melalui persediaan awal dan perancangan rapi, PAIP optimis dapat menghadapi kemungkinan gangguan bekalan dengan lebih baik dan kakitangan yang bertugas dapat bertindak lebih pantas seterusnya memberikan keselesaan kepada pengguna.

Pada masa sama, pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemah, mengelakkan pembaziran dan melakukan persediaan awal bekalan air secukupnya bagi kegunaan pada musim perayaan.

"Untuk sebarang aduan masalah, pengguna boleh menghubungi Pusat khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-5739999 yang beroperasi selama 16 jam sehari iaitu dari jam 7 pagi hingga 11 malam setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 8:40 AM