Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petaling Jaya: Tindakan seorang penganggur dikenali sebagai 'Ustaz Don' bersama rakannya menyamun ketika menawarkan rawatan tradisional kepada warga asing kecundang apabila ditahan polis, kelmarin.

Kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan polis jam 11.30 pagi hingga 10.30 malam selepas menerima laporan daripada wanita warga asing berusia 50 tahun yang disamun di Desa Mentari di Sungai Way.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek mensasarkan warga asing dengan mendakwa mempunyai kemahiran merawat pelbagai penyakit dengan kaedah tradisional.

Menurutnya, suspek kemudian akan berpakat dengan rakannya yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menyamun mangsa.

"Rakan Ustaz Don ini akan menyamar pegawai Imigresen sebaik mengetahui ada warga asing yang akan mendapatkan rawatan.

"Suspek yang menyamar itu hanya memakai pakaian pengawal keselamatan sebelum menyamun dengan melarikan pelbagai barangan berharga.

"Suspek pertama ditahan di Flat San Peng dan suspek kedua di sebuah kelab malam di Changkat Bukit Bintang hasil risikan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun.

Dalam pada itu, polis Petaling Jaya turut menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan ragut sejak beberapa bulan lalu.

Nik Ezanee berkata, suspek berusia antara 25 hingga 49 tahun dalam beberapa serbuan semalam.

Beliau berkata, suspek akan memecah masuk rumah dan meragut sekitar daerah ini sebelum menjual barangan terutamanya telefon bimbit serendah RM20 hingga RM30.

ANTARA barang yang dirampas dalam kes samun bersenjata parang yang mensasarkan warga asing di sekitar daerah Petaling Jaya di IPD Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad
ANTARA barang yang dirampas dalam kes samun bersenjata parang yang mensasarkan warga asing di sekitar daerah Petaling Jaya di IPD Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad

"Suspek pertama ditahan bersama dadah dan barang disyaki dicuri manakala dua lagi suspek ditahan bersama barang curi.

"Hasil siasatan mendapati semua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah samun, ragut dan khianat," katanya.

Katanya, suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 3:44 PM