Tangan kanan Muhammad Iman Fattah menerima rawatan di sebuah hospital swasta. Foto Ihsan Mohd Faizul Mohd Saibani
Tangan kanan Muhammad Iman Fattah menerima rawatan di sebuah hospital swasta. Foto Ihsan Mohd Faizul Mohd Saibani
Muhaamad Hafis Nawawi


Klang: Kanak-kanak lelaki cedera di tangan kanan akibat mercun bola yang dimain bersama rakan meletup di Meru, di sini, kelmarin.

Bapanya, Mohd Faizul Mohd Saibani,44, berkata, dalam kejadian jam 11 malam itu, anaknya, Muhammad Iman Fattah, 11, ingin tidur di surau bersama rakan-rakannya untuk melakukan qiamulail.

Menurutnya, sebaik selesai solat tarawih, dia bersama rakan-rakannya bermain mercun bola api namun ada antaranya meletup terlalu cepat.

"Ketika anak saya ingin membaling mercun itu, tiba-tiba ia terus meletup namun sempat dibaling tetapi percikan api itu terkena di tangan kanan.

"Jemaah surau yang melihat kejadian itu membantu memberi rawatan awal sebelum anak saya pulang ke rumah.

"Selepas mengetahui kejadian itu, saya kemudian membawa anak ke klinik di Rantau Panjang sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta di Klang," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Mohd Faizul berkata, anaknya itu kemudian ditahan di wad dan hasil pemeriksaan X-Ray mujur tangannya tidak mengalami kecederaan serius serta tidak perlu menjalani pembedahan.

"Saya bersyukur tangan anak tidak mengalami kecederaan serius.

"Selepas kejadian ini anak saya serik untuk bermain mercun kerana hampir kehilangan jari tangannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 11:50 AM