KEADAAN kediaman penduduk yang rosak teruk akibat dilanda ribut di Felda Palong Timur, Segamat, petang kelmarin. FOTO Ahmad Ismail
KEADAAN kediaman penduduk yang rosak teruk akibat dilanda ribut di Felda Palong Timur, Segamat, petang kelmarin. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Syawal yang bakal disambut minggu depan hambar bagi penduduk Felda Palong Timur 1,2 dan 3 serta Kampung Bakar Batu di sini, hambar selepas 214 rumah rosak akibat dilanda ribut, pada Rabu.

Dalam kejadian 5 petang itu, penduduk mendakwa hujan lebat luar biasa disusuli ribut petir dan angin kencang selama kira-kira sejam, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sebelum bumbung kediaman diterbangkan angin kencang.

Seorang penduduk dikenali Nik Ali, 62, mendakwa melihat beberapa pusaran seperti puting beliung disusuli petir.

"Semuanya berlaku secara tiba-tiba sebelum ribut menerbangkan beberapa keping bumbung rumah menyebabkan saya bergegas berlindung di luar rumah.

"Setiap kali sambutan Aidilfitri kami akan membuat persiapan secara sederhana namun meriah, tetapi tahun ini keadaan memang berbeza kerana rumah kami rosak teruk, namun kami pasrah dengan ujian Allah," katanya ketika ditemui di Felda Palong Timur 3, di sini, hari ini.

Seorang pengusaha pusat cuci kereta, Mohd Syamsul Ehwan, 30, berkata, terdapat penduduk yang melaungkan azan ketika ribut melanda, dan suasana ketika itu amat kelam kabut.

"Angin kencang menyebabkan pokok mata kucing menghempap bumbung pusat cuci kereta menyebabkan tiga kenderaan pelanggan rosak.

"Persiapan Aidilfitri turut terjejas kerana bumbung dapur rumah turut diterbangkan angin, malah ada barangan persediaan raya turut musnah, namun reda dengan ujian di bulan Ramadan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip turut melawat mangsa terjejas dan meluangkan masa kira-kira tiga jam di tempat kejadian.

Beliau turut mengarahkan mangsa ribut membuat laporan polis, selain mengarahkan agensi berkaitan menilai kerosakan akibat kejadian berkenaan.

"Bantuan segera berupa barang makanan juga diagihkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Pemeriksaan mendapati 101 rumah di Felda Palong Timur 3; 68 di perumahan kilang sawit; 29 di Felda Palong 1, 13 di Felda Palong 2 dan tiga rumah di Kampung Bakar Batu mengalami kerosakan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan segera memaklumkan kepada pihak polis berkaitan kejadian bencana untuk tindakan dan bantuan dapat segera diberikan," katanya.

Sebarang maklumat boleh menghubungi pusat kawalan daerah Segamat menerusi talian 07-9324222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 5:24 PM