BUMBUNG rumah penduduk yang rosak akibat ribut, FOTO tular
BUMBUNG rumah penduduk yang rosak akibat ribut, FOTO tular
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: "Angin kencang menerbangkan bumbung hadapan rumah dan serpihannya nyaris terkena saya," kata Azahari Shafie, 58, menceritakan detik cemas ribut yang melanda kawasan rumahnya di Taman Sutera Jaya, di sini hari ini.

Menurut peniaga buah itu, dia baru pulang solat Jumaat dan ketika tiba di hadapan pintu rumahnya hujan lebat disusuli angin kencang.

"Angin kencang menyebabkan bumbung asbestos rumah saya diterbangkan dan serpihannya jatuh berdekatan saya.

"Dalam keadaan kelam kabut itu saya meluru masuk rumah sambil melaungkan azan," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana isteri serta tiga anak yang berada dalam rumah ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Syamil Mat Sobri, 28, berkata, dia sedang berehat dan berbual bersama empat rakan serumah sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kencang disusuli hujan lebat.

"Kami berada di ruang tamu dan terkejut apabila melihat sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin.

Melihatkan kejadian itu, kami semua terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, sebanyak 28 rumah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda kawasan Kuala Muda.

"Kejadian menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin kencang namun tiada sebarang mangsa yang tercedera dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 8:35 PM