Sebahagian khemah jualan Bazar Ramadan Pelancongan di pekan Kuah, Langakwi yang rosak selepas dilanda ribut. FOTO HAMZAH OSMAN
Sebahagian khemah jualan Bazar Ramadan Pelancongan di pekan Kuah, Langakwi yang rosak selepas dilanda ribut. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada peniaga Bazar Ramadan Pelancongan (BRP) dan Bazar Syawal (BS) yang terjejas, akibat ribut di sini, pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, buat masa ini Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) sudah membersihkan sisa khemah yang rosak.

"Saya difahamkan ribut kuat itu menyebabkan berlaku kerosakan kepada 200 khemah membabitkan peniaga BRP dan BS di Kuah serta Padang Matsirat, malah ada di antara kerosakan khemah terbabit sudah tidak boleh diperbaiki.

"Disebabkan jumlah peniaga yang terjejas besar, kita akan bincang di peringkat negeri untuk melihat bentuk sumbangan yang wajar diberikan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan di Surau Taman Langkawi, di sini, malam tadi.

Mansor berkata, ketika ini pihak kontraktor yang menyediakan tapak BRP dan BS bersedia melakukan pembersihan dalam tempoh tiga hari, namun kerajaan negeri mahukan kerja-kerja itu disiapkan dalam sehari.

"Pihak MPLBP diarah melakukan pemantauan supaya kerja pembersihan dan pembaikan kepada khemah yang rosak dapat dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan peniaga meraih rezeki menjelang saat-saat akhir Ramadan.

"Bagi mempercepatkan proses pemulihan akibat bencana itu, peniaga BS yang terjejas telah dibenarkan memasang khemah sendiri supaya aktiviti jual beli dapat berjalan seperti biasa," katanya.

Semalam, media melaporkan sebanyak 135 khemah BRP dan 30 khemah BS di pekan Kuah di sini, rosak selepas dilanda ribut pada jam 4 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 12:36 PM