Khemah yang rosak akibat diterbangkan angin kencang di bazar Ramadan di Metrocity di Matang, Kuching. FOTO Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
Khemah yang rosak akibat diterbangkan angin kencang di bazar Ramadan di Metrocity di Matang, Kuching. FOTO Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
Ekhwan Haque Fazlul Haque


ANGIN kencang berserta hujan lebat jam 6 petang hari ini, menyebabkan puluhan khemah peniaga bazar Ramadan di Metrocity, Matang di Kuching di sini, rosak.

Kejadian menyebabkan operasi perniagaan di bazar berkenaan terpaksa dihentikan serta merta kerana beberapa khemah ranap dipukul angin kencang.

Saksi, Rusdi Ghani, 38, berkata, ketika kejadian, angin bertiup kencang menyebabkan ada peniaga yang tidak sempat menyelamatkan barangan jualan.

Menurutnya, keadaan ketika itu bertukar kecoh kerana kebanyakan peniaga bertungkus lumus cuba menyelamatkan barangan jualan selain peralatan memasak.

“Saya ke bazar berkenaan ketika kejadian. Sebaik tiba, langit mula gelap sebelum angin kuat berserta hujan lebat melanda menyebabkan saya lari mencari tempat berteduh.

“Ketika kejadian, pengunjung bertempiaran lari kerana bimbang dihempap khemah bazar manakala peniaga berusaha menyelamatkan barangan jualan dan peralatan perniagaan,” katanya ketika ditemui.

Rusdi berkata, kejadian berlaku hampir 20 minit dan ia menyebabkan banyak juadah bertaburan di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penganjur bazar Ramadan berkenaan sudah membaiki kerosakan serta mendirikan khemah baru bagi membolehkan peniaga beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 6.19 petang.

“Ribut tidak menyebabkan kecederaan kepada peniaga atau pengunjung bazar Ramadan berkenaan dan hanya khemah yang rosak akibat kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 9:14 PM