Antara kenderaan yang ditimpa pokok dalam kejadian ribut di Langkawi, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Antara kenderaan yang ditimpa pokok dalam kejadian ribut di Langkawi, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Hamzah Osman


POKOK tumbang, lalu lintas terganggu dan bumbung rumah diterbangkan angin dilaporkan berlaku di beberapa lokasi sekitar Langkawi susulan ribut dan hujan lebat, hari ini.

Kejadian bermula 7.45 malam itu turut menyebabkan peniaga Pasar Malam Ayer Hangat mengalami kerugian selepas khemah dan barangan jualan mereka diterbangkan angin.

Orang ramai yang sedang menikmati makan malam di sekitar Pantai Chenang juga dilaporkan bertempiaran mencari tempat perlindungan sejurus ribut menerbangkan bumbung premis perniagaan berhampiran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, hampir seluruh Langkawi dilaporkan menerima kesan akibat angin kuat itu.

“Laporan awal menyatakan kejadian ribut itu membabitkan rumah penduduk yang menetap di Mukim Kedawang, Bohor, Padang MatSirat, Ayer Hangat, Kuah dan Ulu Melaka.

“Kejadian itu juga menyebabkan beberapa buah rumah penduduk dan kenderaan rosak selepas ditimpa pokok,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Shahfikri berkata, pergerakan kenderaan membabitkan beberapa jalan utama juga terhalang kerana pokok tumbang.

Menurutnya, antara jalan utama yang terjejas dalam kejadian itu ialah Jalan Kampung Ewa, Pantai Kok, Bukit tangga, Temonyong, Padang Matsirat, Ulu Melaka, Yooi dan Bohor Berendam.

“Sehingga kini, kita melakukan koordinasi pengurusan bencana bersama Pejabat Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membersihkan kawasan terjejas.

“Turut serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Penghulu Mukim dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 10:11 PM