PENDUDUK menunjukkan lokasi dua ekor harimau kumbang yang dilihatnya di kawasan kebun di Kampung Batu Chondong, Juasseh. FOTO Ahmad Hasbi
PENDUDUK menunjukkan lokasi dua ekor harimau kumbang yang dilihatnya di kawasan kebun di Kampung Batu Chondong, Juasseh. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Guna kamera perangkap (camera trap) bagi mengesan harimau kumbang yang didakwa kerap berkeliaran di Kampung Batu Condong, Juasseh Tengah, di sini, sejak awal bulan lalu.

Itu antara usaha Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan bagi merungkai isu yang hangat diperkatakan penduduk kampung berkenaan.

Pengarahnya, Nurul Ermi Ramli berkata, pihaknya masih menempatkan kamera berkenaan di lokasi sama, namun menukar sudut rakaman untuk melihat sebarang kemungkinan kewujudan haiwan liar itu.

"Berdasarkan aduan penduduk, mereka ternampak kelibat haiwan liar seperti harimau kumbang berlegar-legar di kawasan semak berhampiran kediaman dan kebun mereka pada 1 Oktober lalu.

"Susulan aduan itu, Perhilitan memasang kamera perangkap di lokasi dan meneruskannya sehingga tempoh sebulan lagi bagi mengumpul maklumat penuh," katanya tadi.

Beliau berkata, penduduk di sekitar lokasi berkenaan diminta supaya sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak Perhilitan sekiranya ternampak kelibat atau kesan kehadiran harimau kumbang.

Harian Metro pada 4 Oktober lalu melaporkan dua haiwan liar berkenaan dilihat penduduk di sebuah kebun berhampiran kediaman penduduk di Batu Condong, kira-kira jam 7.30 malam.

Penduduk mendakwa ternampak haiwan liar itu kira-kira 100 meter dari kediaman mereka selepas terdengar salakan anjing sebelum menyuluh ke arah semak dan ternampak kelibat dua harimau kumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 4:53 PM