FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Wujud mitos kononnya individu yang pernah diserang demam denggi tidak akan dijangkiti penyakit maut sama buat kali ke dua.

Pengerusi skuad sukarelawan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Mohd Yusnizam Yusran berkata, kepercayaan itu adalah karut dan tidak benar.

Menurutnya, wabak demam denggi boleh menjangkiti individu sama dan membawa maut sekiranya tindakan wajar tidak dilakukan orang ramai.

"Ketika ini sebanyak 66 kes demam denggi dilaporkan berlaku di daerah ini bagi tempoh tiga bulan pertama 2024. Ini sesuatu yang membimbangkan.

"Justeru Combi turun padang menemui orang ramai di tapak bazar Ramadan Kuala Klawang di sini, bagi memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Mohd Yusnizam berkata, pihaknya memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya demam denggi.

Katanya penyakit itu tidak boleh dianggap remeh oleh orang ramai kerana ia boleh membawa maut dan sekiranya berlaku kematian itu boleh dianggap sebagai sia-sia.

"Taman Bukit Kempas sebelum itu pernah menjadi kawasan wabak atau kawasan panas (hotspot) demam denggi apabila 15 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh 44 hari.

"Sebanyak 15 kompaun dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jelebu pada Januari,Februari dan Mac lalu kerana pembiakan jentik-jentik.

" Selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk gotong-royong taman itu kini bebas daripada wabak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 1:01 PM