Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan (kiri) menyerahkan menyerahkan borang pendaftaran Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Tapak Bina Putrajaya 2017 kepada Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail (tengah) di Putrajaya. FOTO Nursyahirah Marzuki
Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan (kiri) menyerahkan menyerahkan borang pendaftaran Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Tapak Bina Putrajaya 2017 kepada Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail (tengah) di Putrajaya. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


SEBANYAK 527 kes demam denggi direkodkan di Putrajaya sejak Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 470 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail berkata, statistik berkenaan menunjukkan berlaku peningkatan kes sebanyak 12.1 peratus.

"Kes demam denggi di Putrajaya menyaksikan peningkatan dari tahun ke tahun dan hasil kajian mendapati, tapak binaan adalah penyumbang kedua terbesar selepas kawasan perumahan.

"Lokasi yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi bukan saja di kawasan perumahan seperti di Presint 5, Presint 9 dan Presint 14 malah, kita juga dapati terdapat peningkatan kes bagi lokaliti yang berhampiran dengan tapak pembinaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Mini Konvensyen Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Tapak Bina Putrajaya 2017 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Dell Akbar Khan, Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Pegawai Kesihatan Daerah Pejabat Kesihatan Putrajaya Dr Husnina Ibrahim.

Dalam pada itu, Hasim berkata, pelbagai langkah berjaga-jaga diambil pasukan petugas di bawah Jawatankuasa Program Bandar Selamat untuk memastikan ia tidak merebak dan mengancam kesihatan penduduk.

"Oleh itu, julung kalinya Mini Konvensyen COMBI Tapak Bina Putrajaya 2017 dilaksanakan bagi meningkatkan lagi usaha dalam mencegah dan pengawalan wabak denggi terutama di tapak binaan.

"Kita mahu meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pembabitan pemaju serta kontraktor tapak binaan ke arah usaha pembanterasan wabak denggi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 17 tapak binaan di Putrajaya menyertai konvensyen berkenaan dan dua daripadanya adalah tapak binaan yang sudah siap sepenuhnya, menjadi contoh kepada tapak binaan lain.

"Program COMBI ini dipantau oleh Pejabat Kesihatan Putrajaya dan pemeriksaan bersama dengan PPj bagi menilai tapak bina berada dalam keadaan baik dan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:32 PM