Tiga orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pemandu lori di Mersing, ditahan reman empat hari sehingga Ahad ini. FOTO IHSAN SPRM
Tiga orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pemandu lori di Mersing, ditahan reman empat hari sehingga Ahad ini. FOTO IHSAN SPRM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiga anggota polis yang dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pemandu lori di Mersing, ditahan reman empat hari sehingga Ahad ini.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nurzihan Abdul Rehman selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Ketiga-tiga suspek berkenaan disiasat menerusi Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 diwakili peguam, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Jaesleen Hanafiah.

Pagi tadi, tiga anggota polis itu dilaporkan ditahan SPRMJohor, selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah, malam tadi.

Sumber SPRM dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 36 hingga 42 tahun telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Johor kira-kira jam 7 malam tadi.

Difahamkan, kesemua suspek telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM7,800 daripada pemandu-pemandu lori sawit dan baja di sekitar Mersing pada November lalu.

Ia sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 2:52 PM