ANGGOTA penguat kuasa yang ditahan kerana disyaki meminta habuan seks dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
ANGGOTA penguat kuasa yang ditahan kerana disyaki meminta habuan seks dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang anggota agensi penguat kuasa di sini, ditahan kerana disyaki meminta habuan seks sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita kerana gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika bersama wanita berusia 20-an dalam satu operasi khas di sebuah hotel di sini, kira-kira 7.30 malam tadi.

Wanita berkenaan dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan daripada diambil tindakan, suspek meminta habuan seks.

"Wanita berkenaan dipercayai pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru," kata sumber berkenaan.

Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini membenarkan permohonan reman empat hari bermula hari ini hingga Isnin ini bagi siasatan lanjut.

Permohonan reman itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien selepas

dikemukakan SPRM, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 1:05 PM