SERAGAM baharu pengakap yang dipakai Ketua Pengakap Negara.
SERAGAM baharu pengakap yang dipakai Ketua Pengakap Negara.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkenalkan pakaian seragam baharu yang lebih segar sejajar dengan perkembangan dunia kepengakapan moden pada era ini.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof Datuk Dr MohdZin Bidin berkata, pakaian seragam yang terdiri daripada baju berwarna 'emerald sea' dan seluar (aspen green) disifatkan lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu.

"PPM sentiasa proaktif dalam memastikan pergerakan kepengakapan negara terus bergerak selari dengan peredaran zaman. Sejak diasaskan di negara ini pada 1908, pergerakan kepengakapan melalui pelbagai fasa evolusi dan perubahan bagi memastikan ia terus relevan dan dinamik dalam melahirkan pemimpin masa depan negara.

"Selepas 63 tahun tidak tampil dengan pakaian seragam baharu, PPM dengan sukacitanya mengumumkan pertukaran warna pakaian seragam kepada warna yang lebih segar dan moden yang dinamakan Pakaian Seragam Pengakap No. 3.

"Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa.

"Ini adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan imej dan integriti pergerakan ini sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya. Terima kasih saya ucapkan kepada Seri Pertiwi yang turut sama bertungkus-lumus dalam memberikan input untuk pertukaran pakaian seragam ini," katanya.

MOHD Zin (tengah) pada Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No 3.
MOHD Zin (tengah) pada Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No 3.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No. 3 di ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, di sini, semalam.

Menurutnya, PPM akan memberi kelonggaran kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu secara berperingkat.

"PPM ingin menekankan bahawa pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli. Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa, dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu tiga tahun lagi.

"Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skarf untuk menyertai sebarang aktiviti.

"Penggunaan warna kelabu sebelum ini didapati menimbulkan permasalahan, terutamanya dalam mendapatkan tona yang konsisten. Dengan warna baharu yang dipilih, ia diharapkan dapat menyediakan penyelesaian yang lebih praktikal dengan pakaian yang lebih seragam secara keseluruhan," katanya.

Dalam pada itu, PPM berharap pertukaran pakaian seragam baharu dapat menarik lebih ramai ahli baharu sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan keahlian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 2:37 PM