SAID dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
SAID dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Pemandu lori dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menikam telinga rakannya menggunakan pemutar skru, kelmarin.

Said Herito, 57, yang dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menggunakan pemutar skru sebagai senjata untuk melakukan jenayah yang mungkin menyebabkan kematian di Kampung Petani, Jalan Minyak Beku, di sini, jam 3 petang, 26 Mac lalu.

Hukuman bagi seksyen itu ialah penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu berusia 44 berada di rumahnya, tertuduh muncul dan memarahi sebelum berlaku pertengkaran.

Tertuduh kemudian bertindak mengambil pemutar skru lalu menikam telinga rakan hingga cedera. Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.

Susulan itu, laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari kejadian sebelum polis menahan tertuduh keesokan hari untuk membantu siasatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 2:14 PM